Petugas KK Bukit Pelanduk mati kerana serangan jantung

- Advertisement -

SEREMBAN: Punca kematian seorang petugas Klinik Kesihatan (KK) Bukit Pelanduk yang tidak sedarkan diri sejurus tiba di Hospital Port Dickson, semalam adalah disebabkan serangan jantung atau ‘Coronary Artery Trombosis’, kata Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed.

Beliau berkata keputusan itu diperoleh menerusi hasil bedah siasat yang dilakukan Dr Mohd Syafiq Mohd Zamani ke atas mayat mangsa di Unit Forensik Hospital Port Dickson kira-kira 4 petang, semalam.

- Advertisement -

“Hasil pemeriksaan juga mengesahkan tiada sebarang perlakuan atau unsur jenayah ke atas mangsa. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian pagi semalam, seorang petugas KK Bukit Pelanduk di Port Dickson meninggal dunia manakala tiga lagi tidak sedarkan diri selepas dipercayai terhidu gas karbon monoksida yang tinggi di dalam ambulans dinaiki mereka.

Ketua Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan TPgB II Mohammad Idris bagaimanapun berkata punca kematian mangsa hanya dapat dipastikan setelah proses bedah siasat selesai.

Mengulas lanjut, Aidi Sham berkata pemeriksaan oleh HAZMAT di Klinik Kesihatan itu mendapati tiada sebarang kebocoran gas selain premis tersebut dalam keadaan baik.

Menurut beliau ujian pengesanan gas di dalam ambulans yang digunakan pula mengesan kandungan karbon monoksida yang tinggi di dalam kabin kenderaan itu manakala ketiga-tiga mangsa dipercayai tidak sedarkan diri akibat daripada kebocoran gas berkenaan.

Katanya pihak hospital juga mengesan kandungan gas yang sama di dalam paru-paru seorang daripada mangsa yang tidak sedarkan diri dalam kejadian itu.

Sementara itu, beliau berkata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan Datin Dr Harlina Abdul Rashid memaklumkan bahawa perkhidmatan ambulans tersebut akan dihentikan serta-merta dan akan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya untuk siasatan dan pemeriksaan lanjut.

Justeru, orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan awam. – BERNAMA

- Advertisement -