Program korban PAS Libaran patuhi SOP ditetapkan

- Advertisement -

Oleh FIKAH M

LIBARAN:
Program korban yang merupakan aktiviti tahunan PAS Libaran tetap dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan di Masjid As-Salam, Sungai Obar, di sini kelmarin.

Bermula dengan aktiviti penyembelihan, melapah, menimbang sehingga pengagihan daging dilakukan dalam suasana norma baharu seperti memakai pelitup muka bagi setiap petugas.

- Advertisement -

Sebanyak tujuh ekor kerbau dan lembu dikorbankan dengan kerjasama penduduk di dua buah kampung yang berbeza dengan jumlah petugas yang sangat minimum seperti saranan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Pengarah Program Korban Perdana PAS Libaran, Heryanto Ladat memberitahu bahawa lebih kurang 300 bungkus daging korban diserahkan kepada penduduk di kampung serta taman sekitar Parlimen Libaran.

“Walaupun dalam keadaan kita berhati-hati dengan wabak pandemik yang kian membimbangkan ini, kita tetap harus menyampaikan sumbangan daging ini daripada sahabat-sahabat kepada anggota masyarakat terutamanya golongan fakir miskin,” jelasnya.

Terdahulu, Yang Dipertua PAS Libaran, Abdul Waheed Mohamad menyatakan gembira kepada para peserta program yang percaya kepada PAS untuk menguruskan secara keseluruhan daging korban.

“Dalam tempoh sehari sahaja, sebanyak 198 ekor lembu, kerbau dan kambing disembelih dan diagihkan oleh PAS di seluruh negeri Sabah yang membuktikan kepercayaan anggota masyarakat kepada parti ini.

“Kita tetap perlu melakukan program sebegini agar semangat persaudaraan antara umat Islam itu tetap utuh walaupun situasi yang genting ini dengan mematuhi setiap arahan keselamatan dan kesihatan daripada pihak bertanggungjawab,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/7/2021

- Advertisement -