Pesta liar tidak patut berlaku pada bulan mulia

- Advertisement -

BANGI: Peristiwa yang berlaku di premis milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kajang baru-baru ini dianggap bertentangan dengan nilai Islam, lebih-lebih pada bulan Zulhijjah sekarang.

Ketua Dewan Pemuda PAS Bangi Nazir Helmi berkata, pihaknya melahirkan rasa kesal dengan kejadian pesta liar yang membabitkan anggota polis di Kajang menjelang Aidiladha baru-baru ini.

Katanya Hari Raya Korban yang diraikan umat Islam dengan mengambil makna mendekatkan diri kepada Allah yang perlu dihayati semua pihak.

- Advertisement -

“Pengorbanan harta, jiwa dan raga dengan memberi makan kepada fakir miskin serta yang memerlukan bantuan. Ia perlu dihayati bagi mengelakkan hawa nafsu yang tercemar di bulan mulia,” katanya pada kenyataan di sini.

Baru-baru ini pasukan dari Bukit Aman menyerbu sebuah balai polis di Kajang, Selangor yang dikatakan menjadi ‘kelab malam mini’.

Menurut laporan media kejadian itu berlaku di sebuah ‘bilik khas’ di tingkat dua yang turut dipasang dengan lampu berputar. Ketika serbuan individu di situ sedang menari dan menyanyi karaoke.

Berikutan itu pasukan Bukit Aman menahan lapan individu di lokasi terbabit.

Nazir berkata, Pemuda PAS Bangi menyokong penuh tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit supaya menjadi iktibar kepada semua pihak.

“Keyakinan kami terhadap ketegasan pihak polis tetap utuh, dan harapan besar kami agar institusi keselamatan terus diberi rahmat oleh Allah dan terhindar daripada perbuatan yang merosakkan imej polis,” ujarnya.

Kata beliau juga Pemuda PAS Bangi mencadangkan supaya polis di semua peringkat memantau tahap tekanan kerja dan mengambil peluang mengisi aktiviti rohani.

Menurutnya PDRM boleh mempertingkatkan lagi nilai tarbiah supaya semua yang terlibat dipandu untuk menghayati nilai agama ketika menjalankan tugasan harian. – HARAKAHADAILY 23/7/2021

- Advertisement -