PAS rakam takziah petugas Klinik Bukit Pelandok

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga seorang petugas barisan hadapan di Klinik Kesihatan Bukit Pelandok, Port Dickson yang meninggal dunia semalam.

Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad berkata, peristiwa yang berlaku itu disahkan mengalami keracunan gas karbon monoksida dianggap sebagai mendukacitakan.

Advertisement

“Didoakan juga semoga tiga petugas kesihatan tersebut kembali pulih dan dapat bertugas seperti sediakala.

“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan kesabaran kepada semua petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus berkhidmat untuk negara,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan seorang petugas kesihatan Klinik Kesihatan Bukit Pelandok meninggal dunia, manakala tiga lagi didapati pengsan dalam ambulans yang tiba di Hospital Port Dickson.

Menurut Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis, mangsa yang meninggal dunia merupakan lelaki berusia 29 tahun manakala tiga lagi lelaki yang tidak sedarkan diri berusia 30-an.

Kamaruzaman juga berkata, sebagai rakyat Malaysia, marilah berjuang bersama-sama para barisan hadapan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. – HARAKAHDAILY 23/7/2021