MB patuh peraturan, namun tafsiran berbeza

- Advertisement -

UNDANG-undang memutuskan Menteri Besar Kedah, YAB Sanusi Md. Nor telah melakukan kesalahan dalam kes uji pandu kenderaan Ford Raptor baru-baru ini. Notis kompaun telah dikeluarkan dan YAB Sanusi menerusi pegawai beliau telah menjelaskan kompaun tersebut pada hari yang sama.

Sebelum ini, dalam kenyataan media, YAB MB Kedah secara terbuka menyatakan beliau (ketika itu) menunggu keputusan siasatan dan akan bayar kompaun jika didapati bersalah. Dalam membicarakan kesalahan yang telah dilakukan, ada penjelasan yang perlu difahami. 

- Advertisement -

Pada hari kejadian, beliau dan dua kakitangan iaitu seorang pengawal peribadi dan seorang pemandu singgah di Juru, Seberang Perai Tengah untuk membeli makanan ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Bagi wakil rakyat, mereka sememangnya dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas sempadan atas urusan rasmi dalam tempoh PKP ini. Tidak ada kesalahan dilakukan dalam hal itu.

Kebetulan, kedai di mana pemandu beliau turun membeli makanan itu letaknya bersebelahan dengan pusat jualan kenderaan. Sebagai seorang peminat kenderaan pacuan empat roda, YAB Sanusi keluar dari kenderaan dinaikinya untuk sekadar melihat dan bertanya kepada seorang petugas pusat jualan itu yang sedang menyusun kenderaan di parking lot pusat berkenaan, mengenai kenderaan Ford Raptor yang ada di situ.

Beliau kemudian dipelawa untuk masuk dan duduk di tempat duduk penumpang sebelah pemandu. Petugas berkenaan kemudian memandu dalam jarak dekat di dalam parking lot pusat itu. Di sinilah berlaku kekhilafan dalam mentafsir larangan SOP. Bagi YAB Sanusi, maksud memandu uji yang dilarang dalam SOP ialah memandu sendiri kenderaan itu bagi tujuan menguji.

Ketika itu, apa yang ada dalam pemahaman beliau ialah duduk di sebelah pemandu ketika staf berkenaan memandu uji adalah tidak menjadi apa-apa kesalahan. Dalam erti kata yang lain, beliau melakukan kesalahan itu dalam keadaan tidak sedar bahawa apa yang dilakukan itu adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

Tambahan pula, tidak ada SOP yang jelas dinyatakan di mana-mana mengenai peraturan atau larangan memandu uji atau menyertai pandu uji. Yang ada hanyalah larangan buka bilik pameran atau showroom kenderaan. Pada masa mereka berada di parking lot pusat jualan itu, bilik pameran memang ditutup. 

Justeru bagi YAB Sanusi, itu memadai untuk difahami bahawa SOP telah dipatuhi. Bagaimanapun, sedari awal lagi, YAB Sanusi telah menyatakan komitmen akan akur dengan apa jua keputusan dan tindakan pihak berkuasa jika beliau didapati bersalah.

Beliau juga telah memohon maaf jika siasatan mendapati beliau telah melakukan kesalahan. Buktinya, sebagai warganegara yang taat dan menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang, beliau terus membayar kompaun yang dikenakan pada hari yang sama-sama notis tindakan itu serahkan.

Beliau tidak bertangguh untuk menjelaskan kompaun kerana tidak mahu membuang masa pihak berkuasa terutama Polis Di Raja Malaysia (PDRM), mahkamah dan beliau sendiri untuk menguruskan kes itu dalam keadaan beliau sendiri mempunyai komitmen yang tinggi untuk pelbagai urusan kerajaan yang lain terutama mengendalikan isu-isu kehidupan rakyat Negeri Kedah yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Dalam hal ini, apa yang jelas bagi YAB Sanusi ialah kekhilafan dalam mentafsir undang-undang. Beliau bukan sengaja mahu ingkar atau melanggar undang-undang. Bagi netizen yang sengaja mahu membuat kesimpulan mudah atau sengaja untuk terus menabur kebencian terhadap YAB Sanusi, kecaman terus disebarkan kononnya Menteri Besar Kedah ini dengan sengaja telah melanggar undang-undang negara.

Walaupun kompaun telah dijelaskan, ada yang masih tidak berpuas hati. Motif mereka bukan semata-mata mahu beliau dihukum atas kesalahan melanggar SOP tetapi sengaja mahu mengambil kesempatan untuk melanyak beliau habis-habisan di media sosial bagi memburukkan imej dan reputasi Menteri Besar Kedah yang ke-14 ini. Ini sebagai usaha membunuh karakter (character assassination) beliau yang dalam tempoh baru setahun lebih sahaja ini telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam memimpin negeri, terutama dengan kejayaan membawa masuk pelaburan puluhan bilion ke Negeri Kedah.

Ini yang sedang diusahakan dengan bersungguh-sungguh untuk menutup cerita mengenai kejayaan usahanya membela nasib rakyat sebaliknya yang dibesar-besarkan ialah hal kesalahan yang tidak disengajakan dan beliau sendiri telah menerima hukuman.

Penjelasan ini bukan untuk menegak benang yang basah tetapi bagi memberi kefahaman kepada orang ramai mengenai apa yang sebenar berlaku agar rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah kebencian yang cuba disebarkan. Setiap orang terdedah pada kesilapan, apatah lagi apabila kesalahan itu dilakukan dalam keadaan tidak disengajakan dan atas sebab kekeliruan.

Sekian, harap maklum.

MUHAMAD MAT YAKIM
Setiausaha Akhbar kepada
YAB Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 23/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/596018318/posts/10159722495963319/

- Advertisement -