Manfaat sidang khas Parlimen demi kepentingan rakyat

- Advertisement -

MACHANG: Semua ahli Parlimen disaran menggunakan Sidang Khas Parlimen yang akan bermula 26 Julai ini dimanfaatkan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat dan negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, sidang khas itu diberi peluang untuk ahli-ahli parlimen membahaskan isu besar seperti Covid-19 dan perbelanjaan negara.

“Parlimen kali ini adalah Sidang Parlimen Khas bagi menjunjung titah Yang di Pertuan Agong supaya ia dilaksanakan.

- Advertisement -

“Sesi tersebut banyak penerangan disampaikan oleh menteri. Biasanya apabila penerangan diberi oleh menteri, dari sudut peraturan dewan tidak perlu dibahaskan dan tidak ada pengundian oleh anggota dewan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan daging korban bersama YaPIEM peringkat negeri Kelantan di Pusat Pemulihan Akhlak Machang dekat sini hari ini.

Sebanyak tiga ekor lembu dikorban kemudian diagih kepada petugas barisan hadapan di Penjara Pengkalan Chepa dan Machang.

Bagaimanapun kata Ahmad Marzuk pada persidangan kali ini kerajaan bersetuju memberi ruang kepada anggota dewan yang ingin mengambil bahagian untuk berbahas.

Menurutnya juga pengurusan Parlimen telah bersiap sedia dengan segala kelengkapan untuk bersidang ketika pandemik Covid-19 sekarang.

Menurutnya, ada prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang mesti dipatuhi semua pihak termasuk pegawai pengiring, pemandu dan pegawai yang terlibat dengan pengurusan Parlimen.

“Kita berharap ada kerjasama daripada anggota Parlimen, pegawai supaya menjaga SOP sebaiknya supaya tidak menjadikan sidang kali ini sebagai punca penularan kes Covid-19,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/7/2021

- Advertisement -