Kedah terima vaksin dalam kuantiti besar minggu depan

ALOR SETAR: Kedah akan menerima bekalan vaksin Covid-19 dalam kuantiti lebih besar pada minggu depan sekali gus bakal mempercepat proses vaksinasi di negeri yang merekodkan peningkatan kes Covid-19 itu, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Tanpa menyatakan jumlah dos vaksin Covid-19 yang akan diterima, beliau berkata lebihan vaksin dari pusat pemberian vaksin (PPV) di Langkawi juga akan dibawa ke tanah besar bagi mempercepat proses vaksinasi kepada rakyat di negeri berkenaan.

Advertisement

Muhammad Sanusi berkata perkara itu antara diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri yang dipengerusikannya hari ini bagi membincangkan mengenai usaha menangani peningkatan kes positif Covid-19 di Kedah.

“Satu lagi PPV berkapasiti besar (PPV mega) akan dibuka di Sungai Petani seberapa segera dan satu PPV baharu akan dibuka di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk daerah Baling, minggu depan.

“Pendaftaran penerima vaksin melalui MySejahtera dan kaedah-kaedah lain akan dipergiat selari dengan penerimaan bekalan vaksin daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang telah meningkat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata inisiatif vaksinasi bergerak juga akan diperluas di semua daerah yang memerlukan dan akan dikendalikan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 setiap daerah.

Menurutnya Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) untuk pekerja industri di Sungai Petani akan mula beroperasi di Kilang Minebea Electronics Motor Sdn Bhd pada Isnin ini dan satu lagi PIKAS akan dibuka di Kubang Pasu dalam masa terdekat.

Selain itu, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri akan membekalkan 200 unit oximeter iaitu alat pengukur kadar oksigen dalam darah kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk kegunaan pesakit Covid-19 kategori satu dan dua yang dirawat di rumah serta membiayai operasi pusat kuarantin dan rawatan pesakit Covid-19 di Institut Aminuddin Baki, Jitra.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata pihaknya akan turut memohon kelulusan Majlis Keselamatan Negara untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di satu kawasan tapak bina di daerah Pendang.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata sebanyak 15,573 kes baharu dicatatkan hari ini di seluruh negara dengan sebanyak 937 kes direkodkan di Kedah. – BERNAMA