Bab 3: Langkah kedua – Menjadi calon PhD yang efektif

- Advertisement -

Kembali sebagai seorang pelajar

Satu masalah besar yang dihadapi oleh calon PhD ialah menurunkan martabat dirinya sebagai pelajar. Sama ada cuti belajar dengan biasiswa penuh atau belajar secara sepenuh masa atau sambilan, seseorang calon PhD mesti menerima hakikat bahawa mereka telah kembali sebagai seorang pelajar. Tanpa mengira umur dan pangkat, kehidupan sebagai pelajar mesti dimasukkan dalam minda. Kalau masih lagi berlagak sebagai pegawai kanan semasa pengajian, tanpa menumpukan pengajian, kesudahannya ialah sama ada calon tersebut akan gagal atau mengambil tempoh pengajian yang lama atau tidak tamat pengajian atau tempoh pengajian tamat tanpa penyerahan tesis atau berkesudahan dengan major corrections atau reviva

- Advertisement -

Justeru itu, amat penting, bila mana seseorang itu mendaftar sebagai calon PhD, terimalah hakikat bahawa dirinya sudah bergelar pelajar yang jadualnya penuh diisi untuk pengajian, bukan untuk aktiviti lain. Saya sudah berkongsi cerita dalam bab sebelum ini beberapa contoh mereka yang tidak memahami maksud sebenar cuti belajar biasiswa penuh yang akhirnya memakan masa pengajian sehingga 8 tahun atau berkesudahan dengan tiada PhD apabila tempoh pengajian tamat.

Kenapa saya berkata demikian? Ini kerana pengajian PhD ialah melahirkan satu ilmu baru (contribution to a new knowledge) atau dapatan dan cadangan baru kepada kajian yang dibuat. Maka, masa 24 jam sehari seharusnya dihabiskan sebahagian besarnya untuk pengajian PhD. Sama seperti rutin kerja yang memakan masa kebiasaannya 8 jam sehari, elok diperuntukkan sekurang-kurangnya masa seperti itu atau memperuntukkan masa yang lebih mengikut kesesuaian dan kemampuan fizikal dan mental seseorang calon PhD. Menumpukan masa sepenuhnya kepada kajian PhD adalah rahsia kejayaan. Insya-Allah dengan istiqamah dalam pengajian dan hubungan mesra dengan penyelia serta tiada masalah kajian, calon PhD akan tamat pengajian dengan jayanya dalam masa 3 – 4 tahun.

Baca sebanyak yang mungkin

Masa yang banyak diperuntukkan dalam pengajian PhD terutama di tahun pertama mesti digunakan dengan membaca. Tinjauan literatur terhadap kajian PhD sangat penting di awal pengajian. Tidak ada had jumlah bacaan yang ditentukan tetapi jumlahnya mesti signifikan. Terdapat beberapa kes tesis PhD yang memerlukan penambahan tinjauan literatur dalam laporan pemeriksa dalam dan luar kerana ia dianggap tidak sampai ke tahap PhD. Ini akan menyebabkan kesusahan kepada calon yang sudah menghabiskan masa 3-4 tahun pengajian untuk kembali membuat tinjauan literatur yang sepatutnya diselesaikan di awal pengajian.

Maka membaca sejumlah bahan sama ada sumber utama atau sekunder, artikel jurnal, buku, laporan dan sebagainya sangat penting. Kerana itu, berkhalwat dalam bilik atau perpustakaan sangat membantu dalam menghabiskan bahan bacaan untuk kajian PhD. Agak pelik bila seorang calon PhD masih lagi tidak tahu cara mencari buku di perpustakaan. Malah rujukan secara maya dan softcopy mudah diperolehi di zaman serba canggih hari ini. Terdapat juga kes di mana calon tidak merujuk kepada sumber rujukan pakar bidang. Sebagai contohnya, agak pelik dan menjadi ‘kesalahan besar’ bila mana rujukan tidak dibuat kepada tulisan Almarhum Prof Ahmad Ibrahim sekiranya calon membuat kajian mengenai Undang-undang Islam di Malaysia. 

Jangan terlalu bergantung kepada penyelia dalam menyarankan bahan bacaan dan rujukan kajian PhD. Ini bukan tugas penyelia. Sebagai calon PhD, seseorang itu sudah matang dan pandai mencari bahan rujukan. Tetapi seandainya, rujukan itu sukar didapati atau terhad atau diklasifikasi sebagai sulit, bantuan penyelia yang mempunyai rangkaian luas mungkin dapat membantu mengatasi masalah ini. 

Jangan sampai sekali, bila mana penyelia mencadangkan merujuk kepada satu-satu bahan, jawapannya saya tidak tahu dan di mana saya boleh perolehi bahan rujukan tersebut. Tiada budaya ‘spoon feeding’ dalam pengajian PhD. Semuanya perlu atas usaha sendiri dan kalau perlu sekalipun, dapatkan bantuan daripada pustakawan atau mereka dalam bidang pengajian. Pernah terjadi bila mana pelajar saya memberi maklum balas bahawa buku rujukan yang saya minta tidak terdapat di perpustakaan, walhal saya baru sahaja merujuk buku tersebut. Bahkan saya berkata kepada pelajar saya, mahukah saya tunjuk di mana buku itu berada? Akhirnya, pelajar saya dapat memperolehi buku rujukan tersebut dengan usahanya sendiri!

Hadir kelas metodologi

Ada orang bertanya kepada saya, perlukah lagi menghadiri kelas metodologi di awal tahun pertama pengajian PhD? Bukankah kita sudah mengikuti kelas sedemikian semasa pengajian di peringkat Sarjana Muda dan Sarjana? Jawapan saya mudah sahaja. Wajib ikuti kelas tersebut walaupun pernah mengikutinya pada peringkat sebelum ini. Ini kerana, pengajian PhD ada kelainan dari segi mutu, tahap dan jangkaan (expectation). Seperti yang pernah tulis sebelum ini, sesebuah tesis yang tidak menyumbang satu ilmu baru dan tidak membuah cadangan baru tidak dianggap sebuah tesis yang sampai ke tahap PhD. Dari segi objektif, kesemuanya mesti bersifat analisa (analyse), teliti (examine/scrutinize) , perbandingan (comparison), siasat (investigate), menilai (assess) dan perkataan lain yang bersifat penilaian tinggi.

Begitu juga sampel yang akan digunakan dalam kajian PhD yang tidak sama dengan tahap sebelumnya. Bergantung kepada kajian PhD seseorang, sampel responden mestilah sesuai untuk mendapat hasil kajian yang meyakinkan. Ambil contoh kajian yang paling mudah dengan menemubual responden. Sebagai contoh, kajian mengenai fatwa keharusan melabur ASN/ASB dari tahun 1981-2017. Berapakah jumlah responden yang sesuai? Apakah cukup dengan hanya menemubual dua-tiga orang mufti sahaja sedangkan terdapat 14 Jabatan Mufti di Malaysia? Ini semua akan diterangkan dalam kelas metodogi.

Pengalaman saya semasa belajar PhD di Jabatan Undang-undang SOAS, kami wajib mengikuti kelas 4 jam seminggu di tahun pertama. Dalam kelas ini, kami perlu membentangkan cadangan penyelidikan, mengikuti kelas metodologi, perbincangan perjalanan kajian, membentang kemajuan penyelidikan dan akhirnya pembentangan upgrading MPhil ke PhD pada satu sesi khas yang dihadiri oleh semua calon PhD di hadapan jawatankuasa penilaian termasuk penyelia.

Saya mendapati kelas wajib 4 jam seminggu itu sangat membantu kami terutama di awal pengajian di mana calon masih tercari-cari dan kabur dalam kajian yang dibuat. Selepas tahun satu pengajian, barulah kami dilepas bebas dengan hanya berjumpa penyelia sebulan sekali. Meskipun begitu, terdapat masa-masa tertentu perlu berjumpa penyelia bagi berbincang mengenai kajian yang dibuat.

Bersambung Baca Tesis TerbaikNaik Taraf MPhil ke PhD (UK) dan Betapa Pentingnya Tahun Pertama.

PROFESOR MADYA DR, MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia– HARAKAHDAILY 23/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/577910208/posts/10159566949575209/

SOAS, Russel Square, London.
Berhadapan di satu sudut di Trafalgar Square. Dulu banyak burung merpati berkeliaran di sini kerana ramai pengunjung beri makanan. Sekarang seekor pun tidak ada. Dimaklumkan bahawa pihak berkuasa menghentikan amalan ini kerana najisnya membawa penyakit.
Semasa balik kampung ke SOAS hujung November/awal December 2016 memenuhi jemputan untuk memberi kuliah Human Rights in Malaysia kepada pelajar sarjana dan PhD di Jabatan Undang-undang, SOAS.
Bersama penyelia pertama saya, Prof Andrew Harding sempena beliau memberi syarahan di Sunway University, 2019.
Bersama Prof Mashood Baderin, pakar Islam.& Human Rights dan Islamic Law di Jabatan Undang-undang, SOAS, 2016.
Bersama Datuk Dr Daud Bakar, senior saya di KIK dan idola saya.
Bersama Dr Muhd Ramadhan Fitri Elias, Head of Strategy, Maybank Islamic. Beliau belajar PhD di bawah penyeliaan Prof Abdul Haleem (berumur awal 90an) di Near & Middle East Studies, SOAS yang berjaya lulus dalam masa 3 tahun dengan minor corrections 2 minggu sahaja – Di Restoran Tukdin, 41, Craven Road, London, berhampiran Stesen Keretapi/Tube Paddington dan Stesen Tube Lancaster Gate, 2016.
Bersama pelajar sarjana & PhD Jabatan Undang-undang, SOAS, 2016.
Hyde Park, London.
Tube Central Line yang menjadi kenderaan utama saya ke SOAS, Russel Square dari Gants Hill, Ilford.
- Advertisement -