108 keluarga dalam PKPD terima daging korban

- Advertisement -

TEMERLOH: PAS Kawasan Temerloh telah melaksanakan program ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha dengan kerjasama Pertubuhan Prihatin Temerloh dan Yayasan Al-Fateh bagi Parlimen ini, kelmarin.

Program ini bertujuan menyemarakkan penghayatan ibadah sunnah korban sebagaimana ibrah perjuangan keluarga Nabi Allah Ibrahim A.S dan menyantuni warga asnaf menerusi agihan daging korban kepada mereka.

- Advertisement -

Bersama agihan daging korban ini, turut dilaksanakan adalah edaran bakul makanan PERMAI yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan bagi meringankan bebam golongan susah dan berpendapatan rendah.

Juga dalam kalangan penduduk yang terjejas kehidupan keluarga mereka akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang mengenakan sekatan pergerakan penuh (SPP) ketika ini.

Usaha giat ini telah dijayakan oleh Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus dan Hasanuddin Salim serta wakil NGO Prihatin, Rosli Mukhtar dan wakil Yayasan Al-Fateh, Mohd Faisal Husin.

Mereka setelah selesai kerja-kerja menyembelih dan melapah telah mengadakan edaran daging korban dan bakul makanan tersebut dari rumah ke rumah selain serahan untuk penduduk yang masih dikuarantin.

Sehubungan itu, serahan diberi menerusi wakil penduduk, Hishamuddin Tahir dan Badli Ahmad untuk diagihkan di Taman Chengal, Paya Pulai dan Paya Luas kerana dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD).

“Alhamdulillah sebanyak 10 ekor lembu telah dikorbankan dan agihan daging dibuat dengan kerjasama NGO Prihatin dan Yayasan Al-Fateh. Sebanyak 108 keluarga telah menerima agihan daging ini.

“Kebanyakannya adalah tertumpu kepada penduduk yang berada dalam PKPD sejak 18 Julai lalu dan ibadah sunnah ini diteruskan hingga dua hari lagi,” ujarnya kelmarin. – HARAKAHDAILY 23/7/2021

- Advertisement -