Sedia peralihan sosioekonomi pasca Covid-19

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sudah tiba masa untuk sektor industri dan peniagaan bersiap sedia untuk peralihan sosioekonomi pasca Covid-19 selepas kerajaan mempercepatkan program vaksinasi dan melaksanakan dasar serta pelan pemulihan.

Perdana Menteri berkata perubahan pantas yang tidak pernah berlaku akibat pandemik ini telah mendorong negara untuk terus menyelaras agenda kelestarian susulan pelbagai impak dalam kehidupan rakyat.

- Advertisement -

Dalam soal ini, Muhyiddin memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan menyeluruh bagi memastikan dasarnya jelas dan kondusif untuk pembangunan ekonomi yang mampan.

“Adalah penting kita kekal tangkas dengan libat urus dengan semua pengiat industri dan pihak berkepentingan untuk menyampaikan ‘kesihatan planet’ dengan lebih baik dalam jangka panjang.

“Pandemik ini telah memberi dorongan segar untuk kita semua memainkan peranan dalam agenda kelestarian,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM 2021) secara maya hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata sebagai penandatangan Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia komited menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 serta memenuhi kewajipan di bawah Konvensyen Rangka Kerja PBB Mengenai Perubahan Iklim dan Perjanjian Paris.

Katanya, kerajaan turut menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) April lalu dengan memperuntukkan RM35 juta di bawah Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) untuk inisiatif akar umbi serta mengeluarkan Sukuk Kelestarian Dolar AS Berdaulat pertama di dunia untuk membiayai projek sosial dan hijau yang memenuhi syarat sejajar dengan SDGs dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Perdana Menteri berkata Dasar Teknologi Hijau Negara pada 2009 juga menandakan anjakan ekonomi negara berasaskan pembangunan industri kepada prespektif ekonomi yang lebih mampan dan mengiktiraf potensi teknoloji hijau sebagai satu tonggak untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.

Antara inisiatif agenda hijau termasuk Skim Pembiayaan Teknoloji Hijau menghasilkan RM5.6 bilion disalurkan kepada 431 syarikat hijau dan syarikat usaha sama manakala program MyHijau Mark and Directory mendorong perniagaan, pengguna dan agensi untuk membuat keputusan pembelian dengan membangunkan katalog produk dan perkhidmatan hijau yang diperakukan.

“Tahun lalu, Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) menyaksikan sejumlah 635 projek teknologi hijau diluluskan untuk pembelian aset teknoloji hijau, menjana pelaburan sebanyak RM2.389 bilion,” katanya.

Mengulas IGEM 2021, Muhyiddin berkata acara enam bulan bermula 1 Julai lalu merupakan pemangkin penting dalam merangka hala tuju negara ke hadapan dalam meneruskan kesejahteraan sosioekonomi pasca Covid-19 dengan sokongan dan penyertaan pihak industri dan orang ramai.

Beliau berkata sejak IGEM pertama pada 2010, acara tahunan ini telah menarik lebih 500,000 perwakilan, orang kenamaan, organisasi dan syarikat dari lebih 80 negara dan menjana lebih RM30 bilion potensi pelaburan.

“IGEM juga menjadi medium utama menjalin kerjasama antarabangsa serta sesi dialog bermakna yang telah meningkatkan perakuan negara ini dalam bidang teknoloji hijau,” katanya.

Katanya tema IGEM 2021 iaitu ‘Pentakrifan Semula Kelestarian’ memberi fokus mengenai perubahan iklim dan teknoloji hijau dalam menangani impak pandemik Covid-19.

Selain itu, katanya, ia memberi peluang kepada institusi kerajaan menilai kembali strateginya untuk menghidupkan kembali ekonomi, memelihara alam sekitar dan membawa kestabilan sosial kepada cabaran iklim.

“Apabila munculnya industri hijau yang memerlukan inovasi, produk dan perkhidmatan baharu bagi memenuhi permintaan pengguna, tema ini juga diterjemahkan kepada peluang baharu dan menjangkaui pasaran yang masih belum dimanfaatkan oleh perniagaan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -