Peserta korban makan daging korban

Oleh USTAZ AZHAR IDRUS

Soalan:

Adakah peserta korban boleh makan dari daging korban kerana ada terdengar orang yang berkata diharamkan tuan korban makan dari daging korbannya?

Jawapan:

Hukum memakan daging korban oleh yang menjadi tuan korban adalah harus jika korbannya itu korban yang sunat tetapi tidaklah wajib atasnya memakannya bahkan harus dia sedekahkan kesemuanya.

Advertisement

Firman Allah Taala :

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِير

Ertinya: “Maka kamu sekelian makanlah daripada haiwan korban itu dan berilah makan kepada orang-orang susah yang faqir.” (Al-Haj: 28)

Maksud korban sunat ialah korban yang biasa dilakukan oleh masyarakat menjelang musim korban iaitu seseorang itu berniat melakukan korban untuk mendekatkan dirinya dengan Allah dan bersedekah.

Berkata Imam Nawawi:

وَلَهُ الْأَكْلُ مِنْ أُضْحِيَّةِ تَطَوُّعٍ، وَإِطْعَامُ الْأَغْنِيَاءِ

Ertinya: “Dan harus bagi tuan korban makan dari haiwan korbannya yang sunat dan harus dia memberi makan kepada orang-orang yang kaya.” (Kitab Mibhaj At-Talibin)

Dan yang afdhal ialah tuan korban memakan daripada daging korbannya kerana mengambil keberkatan daripadanya.

Berkata Syeikh Al-Bujairimi:

وَ سُنَّ لَهُ أَكْلٌ مِنْ أُضْحِيَّةِ تَطَوُّعٍ

Ertinya: “Dan disunatkan bagi tuan korban makan dari haiwan korbannya yang sunat.” (Kitab Hasyiah Al-Bujairimi)

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili:

وأما الأضحية التطوع: فالمستحب للمضحي بها عن نفسه الأكل منها، أي أن الأفضل له تناول لقم يتبرك بأكلها

Ertinya: “Dan ada pun korban yang sunat maka disunatkan bagi tuan korban itu memakan daripadanya ertinya sungguhnya yang afdhal ialah dia mengambil sekadar sekali makan kerana mengambil berkat dengan memakannya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Ada pun jikalau korban itu adalah korban wajib seperti korban nazar atau dam haji yang wajib maka tuan korban haram memakan akan daging korban tersebut walaupun sedikit dan wajib dia sedekah semua daging korban tersebut itu kepada faqir miskin tetapi tidak haram dia makan dari korban wajib orang lain.

Berkata Syeikh Ramli:

أَمَّا الْوَاجِبَةُ فَيُمْتَنَعُ أَكْلُهُ مِنْهَا

Ertinya: “Adapun korban yang wajib maka tertegah tuannya makan daripadanya.” (Kitab An-Nihayah)

Dan haram pula orang yang dibawah tanggungan tuan korban itu memakan dari daging korban yang wajib.

Berkata Syeikh Al-Bajuri:

ولا يأكل المضحي ولا من تلزمه نفقته شيأ من الأضحية المنذورة

Ertinya: “Dan tidak harus makan oleh tuan korban dan tidak harus juga orang yang wajib atasnya nafaqahnya memakan suatu dari haiwan korban yang dinazarkan.” (Hasyiah Al-Bajuri)

Wajib tuan korban yang bernazar itu sedekahkan kesemua haiwan korbannya itu kepada orang-orang miskin.

Berkata Syeikh Sa’id Al-Hadhrami As-Syafie:

(ويتصدق) حتماً (بجميع المنذورة) والمعينة عن نذر

Rrtinya: “Dan wajib disedekahkan dengan semua korban yang dinazarkan dan yang ditentukan dengan nazar.” (Kitab Busyral Karim)

Maka jika tuan korban nazar ini telah memakan sebahagian dari daging korban nazar tersebut nescaya wajib atasnya ganti sekadar mana yang dia telah makan itu.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:

وَالْأُضْحِيَّةُ الْوَاجِبَةُ لَا يَجُوزُ لَهُ الْأَكْلُ مِنْهَا، فَإِنْ أَكَلَ مِنْهَا شَيْئًا غَرِمَ بَدَلَهُ

Ertinya: “Bermula korban yang wajib itu tiada harus bagi tuannya memakan daripadanya. Maka jika tuannya telah memakan daripadanya suatu nescaya diwajibkan gantinya.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Berkata Syeikh Abu Bakar Syatha’ Ad-Dimyathi:

وَيَحْرُمُ أَكْلُ الْمُضَحِّيْ وَالْمُهْدِيْ مِنْ ذَلِكَ فَيَجِبُ عَلَيِهِ التَّصَدُّقُ بِجَمِيْعِهَا حَتَّي قَرْنِهَا وَظِلْفِهَا فَلَوْ أَكَلَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ غَرَمَ بَدَلَهُ لِلْفُقَرَاَء

Ertinya: “Dan haram tuan korban dan tuan hadiah memakan dari haiwan korban. Maka wajib atasnya sedekah dengan semuanya sekali termasuk tanduknya dan kukunya. Maka jika tuan korban itu ada memakannya sebahagian daripadanya nescaya wajib diberi gantinya kepada segala orang miskin.” (Kitab I’anah At-Talibin)

Kesimpulannya, jika korban yang sunat, maka harus tuan korban maka dari daging haiwan korbannya itu walaupun tidak wajib dia memakannya.

Dan adapun jika korban yang wajib seperti korban nazar, maka tuan korban dan sekalian orang yang wajib dia tanggung nafaqahnya haram memakan sedikit pun dari haiwan korban tersebut.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 22/7/2021