Pembangkang restui tindakan langgar undang-undang

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Tindakan pasukan guaman DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menawarkan khidmat pro bono kepada tiga aktivis yang menganjurkan protes #KeluardanLawan di Dataran Merdeka bagi mencabar kompaun yang dikenakan ke atas mereka di mahkamah memberi mesej yang salah kepada rakyat.

Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ini kerana tindakan parti itu cenderung ke arah menggalakkan rakyat untuk melanggar undang-undang negara.

Advertisement

Menurutnya, kenyataan sama dikeluarkan seorang pemimpin DAP yang juga ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, menyokong tindakan tersebut akan memberikan persepsi kepada orang ramai untuk memburukkan imej kerajaan tanpa sebarang ancaman.

“Bila pemimpin DAP mahu membela tindakan begini, ia memberikan gambaran seolah-olah DAP merestui tindakan melanggar undang-undang semata-mata untuk mencemarkan imej dan menjatuhkan kerajaan yang sedang bertungkus-lumus menangani Covid-19,” katanya kepada HarakahDaily, hari ini.

Jelas beliau, meskipun Malaysia mengamalkan konsep demokrasi dan memelihara hak asasi manusia, namun sistem perlembagaan serta undang-undang perlu dipatuhi semua pihak.

“Memang benar rakyat berhak dan bebas untuk menyuarakan pendapat mereka dan menyertai sebarang himpunan aman. Tetapi pada masa yang sama hak ini perlulah dilaksanakan menurut undang-undang kerana negara kita mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi oleh setiap golongan.

“Tidak timbul soalan sama ada ‘flash mob’ yang dilakukan oleh penganjur protes #KeluardanLawan ini mengganggu orang awam atau tidak; merosakkan harta benda awam atau tidak; atau dilakukan di kawasan lapang yang terbuka atau tidak.

“Apa yang penting ialah ia mesti dibuat mengikut undang-undang, khususnya Peraturan 10 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 yang melarang perhimpunan begini.

“Begitu juga dengan aspek pemberian notis kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaras dengan peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan huru-hara berlaku jika semua orang membuat perhimpunan begitu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengkritik tindakan aktivis tersebut yang disifatkan provokatif apabila mengibarkan bendera hitam dan membawa sepanduk serta lima patung menyerupai jenazah yang dikafan sambil mendakwa kerajaan sekarang adalah kerajaan yang gagal.

Katanya, senario ini tidak wajar dilakukan di saat semua pihak diseru Yang di-Pertuan Agong supaya fokus kepada usaha memerangi Covid-19 serta mengenepikan sentimen politik kepartian, termasuk perebutan kuasa demi kepentingan parti masing-masing.

Baru-baru ini sekumpulan anak muda menyertai protes #KeluardanLawan di Dataran Merdeka bagi menyatakan kekecewaan terhadap kerajaan dalam menangani kes Covid-19.

Mereka juga membawa replika ‘mayat’ dan ’14 bendera hitam’ di samping mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur kerana mendakwa kerajaan PN gagal membendung pandemik Covid-19.

Himpunan ketika wabak sedang menular itu dikatakan dianjur NGO yang dinamakan Sekretariat Solidariti Rakyat dan Himpunan #Undi18Now.

Ekoran itu pihak polis mengenakan kompaun ke atas peserta protes tersebut dan mereka disiasat di bawah Akta Himpunan Aman 2012. – HARAKAHDAILY 22/7/2021