Pelajar di kampus UMK dapat makanan percuma Aidiladha

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyediakan 200 bungkus makanan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha kepada pelajarnya yang tidak pulang ke kampung.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Razli Che Razak berkata, pek makanan itu diagihkan dua kali sehari selama tiga hari bermula pada 20 Julai sehingga hari ini.

- Advertisement -

Katanya, agihan sumbangan pek juadah hari raya melibatkan ketiga-tiga kampus di UMK Bachok, UMK Pengkalan Chepa dan UMK Kampus Jeli mengikut prosedur operasi standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara Fasa Kedua seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pek makanan itu mengandung nasi tomato, rendang, nasi himpit, satay dan minuman itu sebagai tanda prihatin UMK terhadap sebilangan pelajar yang masih berada di kolej kediaman,” katanya di sini.

Katanya juga kebanyakan pelajar berada di kampus kerana menjalankan kerja penyelidikan dan melengkapkan tugasan makmal.

Selain itu ada dalam kalangan pelajar menunggu melengkapkan dos kedua vaksin di UMK.

“Alhamdullilah, sumbangan oleh Malaysian Relief Agency (MRA) dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumi sebagai inisiatif kebajikan kepada pelajar,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2021

- Advertisement -