KKM diminta senarai anak kematian ketua keluarga untuk dibantu

- Advertisement -

RAWANG: Kementerian Kesihatan (KKM) diminta untuk menyenaraikan jumlah anak-anak yang kematian kedua ibu bapa atau seorang daripadanya akibat virus Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu adalah untuk memastikan anak-anak yang kehilangan tempat bergantung tidak terlepas daripada menerima bantuan daripada kerajaan.

- Advertisement -

“… saya telah minta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba untuk mendapatkan kes-kes yang melibatkan kematian kedua ibu bapa atau salah seorangnya (akibat dijangkiti virus Covid-19) yang menyebabkan akan berlaku kesusahan kepada anak-anak mereka kerana punca pendapatan hilang.

“Selepas ini kalau ada lagi kita akan bantu seperti sekarang ini. Kerajaan sentiasa prihatin kepada apa yang berlaku kepada setiap rakyat,” katanya selepas menyantuni lapan beradik yang kehilangan kedua ibu bapa akibat Covid-19 di sini hari ini. Turut hadir Dr Adham dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai kisah lapan beradik berumur lingkungan empat hingga 19 tahun yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kedua ibu bapa mereka pergi buat selama-lamanya dalam tempoh tiga hari akibat wabak Covid-19.

Ketua keluarga lapan beradik itu Benyajeed Bernie disahkan meninggal dunia pada 16 Julai manakala isterinya Noraini Ibrahim meninggal dunia dua hari kemudian iaitu pada 18 Julai.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata beberapa pihak bertanggungjawab termasuk Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah memberi bantuan sepatutnya kepada lapan beradik itu.

“… sewa rumah RM650 sebulan akan dibayar sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor, begitu juga barang makanan dan kewangan one off sebanyak RM650. JKM pula akan memberikan RM950 sebulan kepada kesemua lapan beradik itu,” katanya yang memberitahu Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 NADMA yang merupakan bantuan one-off RM5,000 turut diberikan kepada waris si mati.

Selain itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Kementerian Pertahanan juga bersetuju untuk mengambil lapan beradik itu sebagai anak angkat kepada Boustead Holdings Berhad (Boustead) yang merupakan anak syarikat di bawah kementerian itu.

Beliau berkata anak kedua (18 tahun) daripada lapan beradik itu yang kini bekerja di sebuah kilang di situ turut ditawarkan untuk bekerja di syarikat Boustead.

Dalam pada itu, Nazurah Nabilah Benyajeed, 19, yang merupakan kakak sulung lapan beradik itu berasa lega dengan semua bantuan yang diberikan kerana ia sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka adik-beradik terutamanya dari segi meneruskan pendidikan.

Beliau yang kelihatan tenang ketika temu ramah media di sini berharap adik-adiknya tidak terumbang-ambing dalam pendidikan.

“Mula-mula rasa sedih (kehilangan kedua ibu bapa) tapi saya nampak adik-adik jugak menangis, jadi saya tidak akan menangis sebab saya kena kuat jadi tonggak mereka.

“… kehilangan orang tersayang itu perkara biasa. Jangan terlalu sedih dan layan perasaan sampai kesihatan terjejas. Kita kena kuatkan semangat untuk teruskan hidup,” katanya sambil menambah kedua ibu bapanya berpesan untuk menjaga adik-adik serta reda dengan pemergian itu.

Nazurah Nabilah yang merupakan penuntut jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Politeknik Mersing, Johor kini dalam tempoh cuti semester.

Sehubungan itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mengambil inisiatif menawarkan pertukaran kampus penuntut itu dari Politeknik Mersing ke Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak yang lebih dekat dengan rumahnya.

KPT, melalui agensi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut memberikan sumbangan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM500 untuk setiap lapan beradik itu dengan jumlah keseluruhan RM4,000. – BERNAMA

- Advertisement -