Kesilapan urus dana Tabung Haji beri impak pendeposit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebarang kesilapan menguruskan dana Tabung Haji (TH) boleh memberikan impak besar kepada pendeposit, iaitu umat Islam di negara ini.

Profesor Madya Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, langkah pembetulan segera akan memberikan kesan positif kepada TH.

Selain itu berpotensi meningkatkan kepercayaan, seterusnya memberikan keyakinan kepada umat Islam untuk menyimpan wang di TH.

- Advertisement -

“Penegasan juga dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Dr Zulkifli Mohamad al Bakri bahawa TH akan memastikan peranan utamanya adalah menjaga kebajikan dan kepentingan jemaah haji serta tanggungjawabnya kepada 8.3 juta pendepositnya.

“MoF turut menegaskan kerajaan tetap memberi jaminan terhadap simpanan pendeposit,” katanya pada kenyataan di sini.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH daripada 2014 hingga 2020.

Ekoran itu banyak pihak termasuk PAS dan NGO melahirkan kekhuatiran mengenai keputusan meletakkan TH sebagai institusi kewangan Islam di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI).

Berikutan itu pihak terbabit meminta kerajaan mendapatkan pandangan semua pihak termasuk daripada pakar.

Dr Anuar Shah Bali Mahomed

Dr Anuar Shah Bali berkata, ia keputusan besar dan memerlukan lebih banyak rundingan dan konsultasi dengan pelbagai pihak terbabit.

Oleh itu, TH perlu kekal dipandu Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), bukan bertukar arah sebagai entiti korporat semata-mata.

TH wajar mengguna pakai model Bank Rakyat yang kekal di bawah perundangan sendiri sebagai institusi kewangan istimewa.

“Keputusan kerajaan meletakkan Tabung Haji sebagai institusi dikawal selia dilihat mampu untuk meningkatkan tadbir urus institusi itu, tetapi terdapat keperluan untuk kerajaan mengadakan rundingan dan perbincangan bersama NGO dalam melaksanakannya,” katanya.

Menurutnya juga cadangan NGO supaya kerajaan menyelesaikan terlebih dahulu RCI boleh dipertimbangkan kerana hasil dapatan suruhanjaya diraja itu boleh dijadikan indikator penting terhadap penambahbaikan pengurusan dan operasi TH.

Apapun kata beliau keputusan kerajaan meletakkan TH sebagai institusi dikawal selia badan pengawal seliaan tadbir urus organisasinya sudah dilaksanakan sebelum ini.

Contohnya, Permodalan Nasional Berhad (PNB) diletak di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), tetapi ia masih dapat menjalankan fungsi asal penubuhannya dalam memakmurkan agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera.

Begitu juga ada institusi kewangan dikawal selia Bank Negara, tetapi masih di bawah pengurusan sendiri seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) yang dikawal selia Kementerian Kewangan (MoF).

Malah terdapat institusi kewangan dikawal selia Bank Negara di bawah APKI yang terus wujud dan bergerak dengan kerangka perundangan sendiri seperti Bank Rakyat di bawah Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978.

Kata beliau ia menjadikan Bank Rakyat ditadbir Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi memastikan entiti terbabit dapat memaksimumkan amalan tadbir urus baik dan berintegriti.

“Harus diingat, skop ‘kawal selia’ oleh Bank Negara dalam konteks TH membabitkan aktiviti pengambilan deposit, pengurusan risiko, tadbir urus korporat dan ketelusan.

“Ini bermaksud lembaga pengarah masih boleh berfungsi sebagai pengaturan kendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2021

- Advertisement -