Kelonggaran pasangan jarak jauh lengkap dua dos diperhalusi

Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperhalusi cadangan untuk memberi kelonggaran kepada individu lengkap dua dos vaksin Covid-19 bagi membolehkan pasangan serta keluarga jarak jauh dapat disatukan.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya mendengar keluh-kesah yang dihadapi pasangan jarak jauh dan keluarga yang terpisah atas larangan merentas negeri.

- Advertisement -

Oleh itu katanya, beliau sering membawa isu tersebut dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar kerajaan mempertimbangkan kelonggaran itu kepada individu lengkap dua dos vaksin.

“Melihat kepada komen-komen yang diberikan netizen di media sosial, saya dapati ramai yang menyuarakan keluhan pasangan jarak jauh atau ibu bapa yang terpisah dari anak-anak kerana larangan merentas negeri.

“Sebagai seorang bapa, saya sedar betapa pentingnya institusi kekeluargaan itu kepada manusia.

“Walaupun atas faktor keselamatan, ibu atau bapa tidak sepatutnya terpaksa berpisah dengan anak-anak dalam tempoh yang terlalu lama.

“Lebih-lebih lagi jika ibu bapa berkenaan sudah pun menerima dua dos vaksin.

“Oleh sebab itu saya sering membawa isu ini dalam mesyuarat MKN, supaya kelonggaran bertemu keluarga dapat dipertimbangkan bagi mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

“Insya-Allah, kerajaan sedang memperhalusi cadangan ini bagi membolehkan pasangan dan keluarga jarak jauh disatukan semula,” ujarnya dalam hantaran Facebook, hari ini. – HARAKAHDAILY 22/7/2021

- Advertisement -