Hari Sarawak: Utamakan setia kawan, tolak perpecahan

- Advertisement -

KUCHING: Rakyat Sarawak digesa bersama-sama memupuk semangat kesetiakawanan bagi mengukuhkan perpaduan serta keharmonian negeri itu.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata mereka juga perlu bekerjasama menjauhkan negeri itu daripada politik yang membawa kepada perpecahan.

Menurutnya, segala usaha yang dirancang kerajaan negeri walaupun dengan peruntukan yang besar tidak menjamin kejayaan sekiranya iklim politik tidak baik.

- Advertisement -

“Pergolakan politik dan perebutan kuasa antara parti-parti politik akan menyebabkan keadaan tidak stabil yang tidak sihat kepada pembangunan ekonomi.

“Para pelabur sudah pasti tidak akan melabur di negara-negara atau negeri-negeri yang terumbang-ambing dari segi suasana politiknya,” katanya dalam ucapan pada majlis Sambutan Hari Sarawak 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, malam ini.

Sambutan Hari Sarawak pada tahun ini diadakan dalam norma baharu dan disiarkan secara langsung.

Abang Johari berkata pada hari ini juga genap 58 tahun pentadbiran negeri Sarawak berada dalam tangan anak Sarawak sendiri.

Katanya, pelbagai kejayaan sudah dicapai Sarawak namun banyak yang masih perlu dilakukan bagi menjadikan Sarawak sebuah negeri yang maju dan berpendapatan tinggi.

“Saya yakin kita boleh mencapai impian ini menjelang 2030 jika kita semua berusaha dengan gigih untuk menjadi negeri dengan ekonomi yang maju dalam masa sembilan tahun lagi mengikut acuan kita sendiri,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -