Berinisiatif mercu tanda sebenar wala’

- Advertisement -

TOPIK ini adalah kesinambungan dari subtopik yang telah dikupas pada siri 3. Melihat kepada kepentingan subtopik ini, ia akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam siri yang khusus ini.

Apa itu berinisiatif?


Berinisiatif bermaksud bertindak sewajarnya atas kesedaran sendiri. Tidak diarah dan mungkin di luar bidang tugas. Berinisiatif sinonim dengan terma proaktif. Kalau ada kesalahan, kekurangan dan kelemahan yang dilihat, kita terus bertindak mengatasi perkara tersebut. Kalau dapat kesan ancaman, masalah, bahaya dan risiko yang mungkin berlaku, kita terus ambil langkah sewajarnya. Kalau ada peluang, potensi dan kelebihan yang boleh diambil, kita terus lakukannya. 

- Advertisement -

Walaupun tidak ada arahan spesifik untuk bertindak, tetapi atas kesedaran demi kepentingan Islam, kita ambil langkah tersebut. Walaupun di luar bidang tugas kita, tapi kita lakukan dengan kemampuan yang ada.

Namun berinisiatif perlu dipagari dengan beberapa kriteria iaitu:
1. Demi kepentingan Islam dan jamaah.
2. Tidak bercanggah dengan syarak.
3. Selari dengan objektif, dasar dan matlamat jamaah.

Kenapa berinisiatif diketengahkan?

Terdapat banyak manifestasi wala’ sebagaimana disenaraikan pada siri 3. Tetapi siri ini hanya memfokuskan perihal berinisiatif sahaja melihat kepada kepentingan berikut:

1. Mengimbangi dominasi taat dalam wala’.

Berbicara mengenai wala’, ramai menghurai dari perspektif taat. Sedangkan seperti yang dijelaskan pada siri 1, taat hanya sebahagian ciri wala’ sahaja. Mengabaikan ciri wala’ yang lain akan membawa masalah kepada Islam.

Taat bergantung kepada arahan dan ketetapan. Tanpa arahan, taat tidak wujud. Orang yang memahami wala’ dari sudut taat sahaja akan membuatkan mereka terus hilang wala’ jika arahan tidak ada.

Lebih membimbangkan, jika seseorang tidak berlaku taat kepada ketua, terus dituduh tidak wala’. Sedangkan ia tidak semestinya. Presiden PAS dalam penggulungan Muktamar 2019 pernah memberi contoh sejarah seorang pemimpin yang tidak taat tetapi wala’. Ia berkait mengenai konsep wala’ yang sebenar sebagaimana digariskan oleh al-Quran. Boleh lihat penerangan pada siri 2.

2. Menampung lompang.

Jamaah Islam adalah makhluk. Begitu juga dengan pemimpinnya. Pasti ada kesalahan, kekurangan dan kelemahan yang timbul. Berinisiatif mampu menampung lompang tersebut. Sekurang-kurangnya dalam ruang dan batas yang dimiliki.

Proses mengeluarkan arahan dan ketetapan berkait dengan birokrasi yang sulit dan panjang. Sedangkan terdapat perkara yang perlu ditangani segera. Kelemahan proses ini boleh ditangani dengan inisiatif anggota jamaah.

Pemimpin melihat sesuatu secara helicopter view. Secara kasar dan makro. Tetapi di lapangan realiti, terdapat beberapa perbezaan halus yang perlu dicermati. Mengharapkan sesuatu arahan bersifat spesifik yang sesuai untuk semua situasi dan lokasi adalah mustahil. Justeru memerlukan kebijaksanaan pengikut dalam mengambil inisiatif tersendiri.

Biasa juga berlaku, sesuatu agenda tidak dapat berjalan baik kerana kekurangan tenaga kerja. Di sinilah inisiatif semua pihak diperlukan walaupun hakikatnya, kerja tersebut di luar bidang tugas yang ditetapkan.

3. Menangani ancaman luar.

Berinisiatif bukan sekadar menampung kekurangan dalaman sesebuah jamaah, tetapi ia juga bertindak sebagai penampan bagi ancaman luaran. Sebagai sebuah jemaah Islam, terdapat berbagai pihak luar yang beragenda terhadapnya. Justeru perlunya anggota mengambil inisiatif untuk peka terhadap sebarang ancaman yang mendatang.

Sunnah perjuangan ini sentiasa menjadi golongan sedikit berbanding musuh. Justeru jika sekadar mengharap unit-unit tertentu untuk menjaga keselamatan jamaah adalah sangat bahaya.

Anggota jamaah perlu sentiasa menjadi mata dan telinga untuk jamaah. Memerhatikan sebarang anasir tidak normal yang berlaku di peringkat masing-masing. Jika boleh ditangani terus, maka bertindaklah sewajarnya. Jika perlu dirujuk kepada pihak atasan, maka segeralah laporkannya.

4. Merebut peluang yang ada.

Anggota jamaah ini umumnya dari berbagai latar belakang, tempat dan bidang. Kepelbagaian ini pastinya membuka banyak peluang bagi jamaah untuk mencapai objektifnya. Di sinilah penting inisiatif anggota jamaah yang berada pada posisi peluang itu muncul untuk segera direbut sebelum terlepas.

Poin ini boleh menjadi pencetus kepada orientasi dan hala tuju jamaah. Gerakan Islam sifatnya ber’gerak’, perlu terlebih dahulu mengenalpasti ‘lokasi’ dan ‘jalan’ untuk bergerak. Maka anggota jamaah perlu sama-sama mengambil inisiatif melihat ‘jalan-jalan’ baharu yang ada setiap masa.

Poin ini juga berkait rapat dengan agenda tajdid (pembaharuan) yang menjadi sifat jamaah Islam. Sebelum melakukan pembaharuan, perlu terlebih dahulu mengenalpasti teori-teori dan pendekatan baharu yang mungkin ada dan sesuai diadaptasi oleh jamaah. Pendekatan ini kurang lebih seperti tinjauan literatur dalam kaedah kajian.

5. Menjawab di depan Allah.

Menjaga jamaah ini adalah amanah buat semua anggotanya. Jamaah ini bukan milik pemimpin semata-mata. Semua akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah.

Jika ada masalah berlaku dalam jamaah, ia tidak semudah menjawab ‘ia bukan tugas saya’ atau ‘tiada arahan dari pimpinan’ begitu sahaja. Jika tuhan beri peluang dan ruang untuk menanganinya tapi kita enggan, ia tetap dikira salah. Hukumnya seperti dosa orang yang pandai berenang tetapi membiarkan sahaja orang lemas di hadapan matanya atas alasan ‘saya bukan lifeguard’.

Berinisiatif mengikut konsep Fardu Kifayah

Sebenarnya berinisiatif bukan hukum baharu. Ia adalah termasuk dalam perbahasan konsep Fardu Kifayah. Fardu Kifayah adalah kewajipan yang bersifat mencukupkan. Jika sesuatu kewajipan dijalankan oleh sesuatu kumpulan dalam jumlah yang mencukupi keperluan, maka gugur kewajipannya pada orang lain. Tapi jika tiada yang ambil tanggungjawab, maka kewajipan masih ditanggung semua orang.

Menyusun keperluan Fardu Kifayah secara asasnya perlu dikendalikan oleh pemimpin. Mereka perlu melihat apa keperluan wajib bagi memenuhi objektif jamaah, seterusnya mencari orang yang sesuai bagi menjalankan kewajipan tersebut. Tetapi profil ahli jamaah yang ada dalam maklumat pemimpin mungkin tidak menggambarkan kemampuan sebenar ahli-ahli yang ada. Maka di sinilah ahli perlu turut peka dan sentiasa bersedia untuk menawarkan diri memenuhi keperluan tersebut.

Perlu diingatkan, mengambil inisiatif bukan boleh mengikut minat dan kemahuan sendiri. Ia mesti berasaskan keperluan dan kemampuan. Malangnya ramai memilih untuk menceburkan diri hanya dalam ruang yang popular, yang kadangkala ruang tersebut melebihi keperluan atau di luar kemampuan.

Berinisiatif menurut neraca korporat

Berinisiatif ini juga sebenarnya bukan dituntut dalam jamaah Islam sahaja. Malah sektor pentadbiran dan korporat juga turut menggunakannya. Biasanya dalam laporan KPI tahunan pekerja, ada skala khusus yang diperkenalkan bagi mengukur prestasi pekerja.

Skala ini berbeza bagi setiap organisasi. Tapi secara umumnya ada 5 iaitu:

1. Gagal.
2. Tidak memuaskan.
3. Memuaskan.
4. Baik.
5. Cemerlang.

Bagi yang bekerja sekadar memenuhi bidang kuasa, ia berada pada skala 3 sahaja iaitu memuaskan. Mereka tak melakukan kesalahan. Mereka jalankan semua kerja dengan lengkap. Tetapi cuma buat kerja ikut arahan sahaja. Tak lebih dari itu.

Sebagai balasan, mereka layak dapat gaji penuh. Tapi mereka hakikatnya tak layak untuk kenaikan pangkat atau bonus. Skala 4 dan 5 adalah contoh berinisiatif. Mereka bukan sahaja menjalankan tugas dengan sempurna, malah melakukannya lebih dari ketetapan dan memberi pulangan baik kepada organisasi. Merekalah layak dapat lebih dari gaji yang ditetapkan.

Ada juga yang memperkenalkan tangga kecemerlangan pekerja seperti berikut:

1.Tidak mencapai ketetapan.
2. Hanya mencapai ketetapan.
3. Melebihi capaian ketetapan.
4. Mampu mengesan ancaman atau peluang dan mengambil tindakan sewajarnya.
5. Mampu mempengaruhi dan membawa budaya positif dalam kalangan sekerja.

Menurut tangga ini, sekadar taat hanya pada tangga kedua. Selebihnya adalah berinisiatif dan mempamerkan wala’ yang sebenar.

Saidina Umar ikon berinisiatif

Ramai Sahabat yang boleh dijadikan contoh berinisiatif tinggi. Tetapi bagi saya, Saidina Umar adalah refleksi inisiatif yang paling menonjol. Beberapa titik hidupnya yang boleh dijadikan contoh:

1. Keluar solat sejurus peluk Islam.

Sebelum keislaman Umar, umat Islam takut untuk menzahirkan keIslaman walaupun setelah turun ayat wajib berdakwah terang-terangan. Ini kerana reaksi kuffar sangat dahsyat apabila melihat perkara tersebut. Ibnu Mas’ud pernah dibelasah teruk hanya kerana membacakan beberapa potong ayat al-Quran di hadapan Kaabah.

Tetapi sebaik Umar melafazkan syahadah, beliau terus mencadangkan untuk mereka keluar menzahirkan keIslaman di hadapan khalayak. Berbekalkan kelebihan peribadi yang gagah dan berani, terus sahaja Nabi bersetuju dan mengikut pandangan Umar.

Mereka berarak ke hadapan Kaabah dan melakukan solat di hadapan pemuka Quraisy. Tiada seorang berani menyentuh mereka sehingga selesai.

2. Cadang tawanan Badar dibunuh.

Walaupun Nabi S.A.W cenderung kepada pandangan Saidina Abu Bakar untuk menjadikan tawanan sebagai tebusan, tetapi Saidina Umar tampil memberi pandangan bahawa mereka perlu dibunuh. Ini kerana tawanan tersebut berprofil tinggi dan sangat bahaya untuk masa akan datang jika dilepaskan. Tidak berbaloi dengan harta tebusan yang diperoleh.

Akhirnya turun ayat al-Quran membenarkan pandangan Umar. Walau bagaimanapun, Nabi telah terlebih dahulu melepaskan tawanan dengan tebusan. Tawanan itulah yang menjadi dalang perang Uhud yang sangat besar impaknya terhadap umat Islam.

Menunjukkan bagaimana Umar mampu mengesan ancaman dan mengambil langkah mengikut ruang kuasanya bagi kepentingan Islam. 

3. Persoal Sulh Hudaibiyyah.

Saidina Umar sekali lagi menimbulkan polemik apabila mempersoalkan ketetapan Nabi S.A.W untuk mengadakan Sulh Hudaibiyyah. Saidina Umar melihat banyak ketidakadilan dalam syarat-syarat Sulh lalu berjumpa beberapa Sahabat termasuk Rasulullah S.A.W sendiri untuk cuba memperbetulkan keadaan yang dirasakannya salah. Akhirnya setelah lama, baru beliau melihat kebijaksanaan politik Baginda. Beliau mengakui kesilapan pandangannya.

Walaupun kisah ketiga ini agak berbeza dari kisah kedua, namun pengajarannya adalah Saidina Umar mengambil inisiatif cuba memperbetulkan keadaan yang difikir salah. Pengajarannya juga adalah bagaimana Saidina Umar menggunakan salurkan yang betul dalam mengambil inisiatif, tidak sabotaj atau merugikan jamaah.

4. Desak al-Quran dikumpul.

Zaman Saidina Abu Bakar menjadi khalifah, Saidina Umar melihat perlunya al-Quran dikumpul dan dijadikan naskhah rasmi supaya ianya tidak hilang dengan matinya Sahabat yang menyimpan dan menghafal al-Quran.

Saidina Abu Bakar tegas menolak cadangan itu pada awalnya kerana beranggapan, ia adalah bidaah. Namun Saidina Umar cuba meyakinkan atas dasar maslahah masa depan yang besar, sehingga berkata ‘inilah sebaik-baik bidaah’.

Akhirnya cadangan beliau dipersetujui. Kesan inisiatif yang diambil itu membuahkan natijah yang baik buat generasi umat Islam kemudian hinggalah hari ini.

5. Tajdid corak pentadbiran.

Pada era kekhalifahannya, berbagai ‘bidaah’ baharu yang diperkenalkan. Mewujudkan taqwim Hijri, menetapkan cuti jihad, membezakan gaji mengikut jawatan dan banyak lagi.

Menunjukkan sifat berinisiatif bukan hanya tanggungjawab pengikut, malah ketua juga. Tidak rigid dengan amalan biasa dan panduan normal, tetapi berani melakukan pembaharuan yang difikirkan sesuai dari semasa ke semasa.

Ramai profesional dalam jamaah?

Kesimpulannya, berinisiatif adalah mercu tanda sebenar wala’. Kerana wala’ adalah mengandungi makna setia, kasih dan sanggup melakukan apa sahaja demi Islam. Berinisiatif adalah manifestasi kesetiaan, lambang kasih yang tidak berbelah bahagi sehingga sedia mengambil apa jua langkah yang perlu demi kebaikan apa yang dikasihi, sekalipun mengorbankan diri.

Ia juga boleh menjadi renungan buat mereka yang selalu tertanya-tanya, dalam jamaah ini ramai profesional tetapi kenapa tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Ya, dari satu sudut puncanya kerana tiada penyusunan yang strategik di peringkat sumber manusia. Tetapi dari sudut lain, ia juga berpunca dari profesional yang segan mengambil inisiatif, hanya menunggu arahan dari jamaah sahaja. Walaupun peluang atau ancaman terpampang di hadapan mata.

Pada siri akan datang, Insya-Allah kita akan bincang mengenai virus perosak wala’ pula. Doakan supaya lengkap kesemua 7 siri yang dirangka. Selepas itu saya akan susun dalam bentuk ebook untuk manfaat bersama.

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 22/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000927096907/posts/6217730644934444/

- Advertisement -