50 jam laksana ibadat korban di Palestin

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Sebanyak 122 ekor lembu dan empat ekor kambing disembelih di Gaza dengan lebih 50 tenaga kerja yang bertungkus lumus selama 50 jam sempena Hari Raya Aidiladha.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, semua haiwan korban tersebut merupakan sumbangan dana yang disalurkan oleh rakyat Malaysia.

“Ini hasil sumbangan kalian, bermula pada malam semalam dan selesai bagi pusingan pertama untuk 60 ekor lembu dan berehat satu hari, sebelum meneruskan 60 ekor lagi.

- Advertisement -

“Kami bermalam dan bersiang di sini untuk memastikan amanah korban rakyat Malaysia dapat disempurnakan di bumi Gaza pada tahun ini,” katanya pada satu kiriman video semalam.

Beliau yang merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang menetap di Gaza menegaskan kepentingan amalan integriti dan ketelusan dalam perbelanjaan badan bukan kerajaan (NGO).

Justeru katanya, NGO yang terlibat kerja kebajikan dan kemanusiaan perlu berhadapan dengan Jabatan Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk diaudit operasi perbelanjaan tahunan.

“Mereka yang terlibat dengan kerja kemanusiaan ini tahu bahawa pendaftaran di bawah RoS menuntut dihantar penyata kewangan secara tahunan bagi memastikan NGO integriti dan transparensi.

“Itu tindakan yang dilakukan Gaza Cinta Malaysia (GCM), tahun ini kerana kami mula mencuri perhatian dan diberi amanah besar menyampaikan sumbangan,” katanya.

Menurutnya pengurusan NGO di Gaza berbeza di Malaysia, terpaksa melalui prosedur yang ketat yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri Palestin supaya tidak berlaku penyelewengan.

“Sebagai contoh, dalam projek korban tahun ini, kami membeli 122 ekor lembu melalui sistem tender terbuka, agihan akan dibuat melalui 140 NGO tempatan yang berdaftar.

“Serta dipantau Kementerian Dalam Negeri, malah kami perlu menyediakan senarai nama 30,000 keluarga yang akan menerima bantuan daging korban,” kata beliau.

Dalam pada itu PAS melalui Wakil Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah melancarkan inisiatif bagi membantu umat Islam di Palestin yang berhadapan dengan keganasan rejim zionis.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum ini mengumumkan penubuhan Sekretariat #Aid4Palestine dengan kerjasama lebih 40 NGO sebagai tindakan proaktif bagi membantu rakyat Palestin.

Sekretariat itu berfungsi sebagai penyelaras jaringan NGO dan masyarakat sivil untuk menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

Sekretariat diketuai Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berperanan menyelaras kutipan dana itu dengan sasaran RM1 juta.

Sasaran kutipan dana bagi fasa pertama menjelang 10 Syawal mencecah RM350,000 hasil kutipan terkumpul melalui NGO seperti PasRelief, Yayasan Amal Malaysia dan sebagainya.

Manakala kutipan kedua pula menyasarkan jumlah minimum kira-kira RM650,000 sehingga 30 Syawal lalu.

Sebaliknya jumlah yang berjaya dikumpul melebihi RM13 juta untuk mebantu rakyat Palestin khususnya Gaza yang terjejas akibat keganasan rejin Yahudi.

Sumbangan terbabit digunakan untuk pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat Palestin termasuk bantuan makanan dan baikpulih kediaman penduduk. – HARAKAHDAILY 22/7/2021

- Advertisement -