4 anak terperangkap dalam rumah ketika ribut kencang

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Empat beranak mengalami detik cemas apabila sebahagian besar atap rumah mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut dan hujan batu yang berlaku di enam kampung petang semalam.

Seorang armalah Siti Mariam Zakaria, 39, berkata, ketika kejadian berlaku empat anaknya terperangkap dalam rumah kira-kira jam 6 petang.

Katanya, empat anaknya berada di rumah ketika kejadian iaitu Nor Sazma Erniy Mohd Asri, 19; Mohd Saiful Syamir, 18; Mohd Saful Ikhwan, 16 dan Mohd Afif, 12,

- Advertisement -

“Sebelum kejadian saya keluar ke kedai untuk membeli barangan dan saya bergegas pulang sebaik menerima panggilan telefon seorang anak yang meminta pulang segera kerana bumbung rumah diterbang angin,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nara dekat sini, hari ini.

Lima kampung lain yang turut dilanda ribut petang semalam iaitu Kampung Hutan Jering, Pangkalan, Alor Pasir, Sungai Rasau dan Bukit Gedombak membabitkan lebih 40 rumah.

Siti Mariam berkata, sebaik pulang beliau mendapati anaknya menggigil ketakutan dan berlindung di belakang almari yang dipenuhi dengan buku-buku serta al-Quran.

Manakala bilik tidur dan ruang dapur rumahnya dipenuhi air hujan, manakala barangan elektrik termasuk televisyen rosak.

“Saya anggarkan kerugian yang dialami melebihi RM10,000 termasuk garaj kereta di bahagian depan rumah turut ranap sama sekali,” katanya.

Seorang lagi mangsa Siti Minah Mamat, 65, yang tinggal di Kampung Hutan Jering berkata, beliau bernasib baik kerana sempat melarikan diri ke rumah anaknya yang tinggal berdekatan.

Katanya pada kejadian itu bumbung rumahnya di ruang tetamu diterbangkan ribut.

“Bagaimanapun saya bersyukur anak bongsu saya Mohd Izat Hamzah, 20 terselamat ketika berada berhampiran ruang tamu rumah ketika kejadian,” katanya.

Sementara itu, Adun Limbongan Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah berkata, beliau sedang mengumpul senarai penduduk yang terbabit dengan kejadian ribut tersebut.

Katanya beliau akan berusaha mendapat bantuan kerajaan negeri untuk membaik pulih rumah penduduk yang rosak.

Bantuan awal sudah disampaikan kepada mereka untuk meringankan beban memandangkan ada dalam kalangan mereka menumpang di rumah keluarga masing-masing. – HARAKAHDAILY 22/7/2021

- Advertisement -