Selesaikan RCI Tabung Haji dahulu

- Advertisement -

YB Senator Ustaz Idris Ahmad kelmarin telah menegaskan pendirian PAS yang melihat dengan serius cadangan kerajaan untuk meletakkan Tabung Haji (TH) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM). Serentak dengan itu beliau telah mencadangkan supaya segala keputusan berkaitan masa depan TH perlulah diperhalusi dengan teliti melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Kenyataan YB Senator Ustaz Idris secara langsung memperlihatkan perhatian PAS yang sangat mendalam terhadap TH yang merupakan sebuah institusi ekonomi ummah yang sangat penting. Perhatian PAS terhadap TH ini bukanlah satu perkara baharu, malah apa-apa sahaja isu yang berkaitan dengan TH, PAS pasti akan bersuara memberi pandangan dan kritikan membina.

- Advertisement -

Kemelut TH yang terbaru adalah lanjutan daripada tuduhan yang dibuat oleh PH pada tahun 2015 yang lalu, khususnya tuduhan Rafizi Ramli bahawa berlaku salah urus aset TH berkaitan 1MDB dan penyusutan rizab TH yang dikatakan menjadi negatif. Beliau menyandarkan tuduhan itu berdasarkan teguran yang dibuat oleh BNM kepada TH.

Semenjak daripada itu wujud desakan daripada PH supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI), malah telah dimasukkan sebagai salah satu janji Manifesto PH. Sekiranya mereka menang dalam PRU ke-14, RCI TH akan ditubuhkan. Bagaimanapun, selepas PH menawan Putrajaya mereka langsung tidak berani menubuhkan RCI sehinggalah mereka tumbang.

Sebaliknya, PH telah membuat cadangan-cadangan mengenai pelan pemulihan TH termasuklah memindahkan aset TH kepada SPV yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan, menjual aset-aset tidak ‘berdaya maju’ di bawah TH Properties dan mencadangkan TH dikawal selia oleh BNM. Segala tuduhan yang mereka buat sebelum itu tidak langsung disiasat.

Yang paling mengarut sekali, Rafizi Ramli yang membuat tuduhan berat tersebut dibebaskan oleh Mahkamah Majistret apabila pihak pendakwaraya menarik balik pertuduhan kepada beliau pada Februari 2019. Beliau yang didakwa kerana merosakkan reputasi TH sebelum itu telah dipanggil untuk membela diri setelah pendakwaraya berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pembebasan Rafizi yang mirip pembebasan Lim Guan Eng dalam kes rasuahnya, bukan sahaja tidak berlaku adil kepada institusi TH dan individu-individu yang dituduhnya, lebih daripada itu ia meninggalkan persoalan besar, benarkah TH benar-benar ‘sakit’ atau ia hanya sekadar tuduhan kosong. Sudahlah PH tidak mahu menubuhkan RCI, kes pertuduhan Rafizi pula ditarik balik.

Persoalannya adakah benar TH benar-benar sakit ini masih tidak terjawab sehingga hari ini. Apa yang dilakukan oleh PH dulu memberi ‘ubat’ dalam bentuk tindakan-tindakan yang dilihat merugikan TH, sedang belum tentu TH itu sakit kerana tiada satu ‘diagnosis’ pun yang merumuskan seperti itu. Yang jelas, banyak keputusan-keputusan PH selepas itu merugikan TH.

Oleh sebab itu, keputusan Jemaah Menteri untuk menubuhkan RCI ini sememangnya sangat ditunggu oleh semua pihak. Diharapkan penubuhannya dapat disegerakan dan penyiasatan yang telus dapat segera dibuat. Melalui RCI itu nanti akan terbongkar apa sebenarnya yang dihadapi oleh TH, adakah TH benar-benar sakit atau hanya sekadar fitnah oleh PH.

Sekiranya TH benar-benar sakit dan diketahui penyakitnya, barulah kita boleh membuat pelan pemulihan yang sesuai. Jika kita terus membuat pemulihan tanpa menunggu dapatan RCI, dibimbangi kita memberi ‘ubat’ yang salah kepada ‘penyakit’ yang dialami. Ringkasnya, usaha menyediakan pelan pemulihan TH seharusnya menunggu dan mengambil kira dapatan RCI.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 21/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000491178707/posts/7249234785102822/

- Advertisement -