PKPD: Kedah lulus peruntukan RM373,545

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM373,545 untuk bantuan khas kepada penduduk di Daerah Kuala Muda yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bantuan khas berupa wang tunai dan makanan basah itu melibatkan 2,767 buah rumah.

- Advertisement -

“Kerajaan menyedari kesukaran mendapatkan makanan basah dan bekalan wang tunai berikutan lokasi yang dikenakan PKPD itu tidak mempunyai perkhidmatan bank atau ATM,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu katanya, makanan basah akan mula dibekalkan bermula pagi esok melalui petugas Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan kakitangan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).

Sementara agihan itu melibatkan penduduk taman-taman perumahan di Taman Bandar Baru, Taman Cahaya, Lembah Permai Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Kampung Sireh.

“Setiap keluarga akan mendapat dua ekor ayam, dua kilogram ikan, sayur-sayuran, telur sepapan dan wang tunai sebanyak RM100.

“Semua bantuan makanan basah dan wang tunai ini akan diselaraskan oleh Pejabat Daerah Kuala Muda yang diketuai oleh Abdullah Hashim,” ujarnya lagi.

Kata Sanusi keputusan itu dibuat berikutan pihaknya menyedari selepas dua minggu lokasi terbabit dikenakan PKPD para penduduk telah kehabisan dan terputus bekalan wang tunai.

Hal itu katanya menimbulkan masalah untuk membeli keperluan selain barangan yang dibekalkan melalui bakul makanan PKOB.

Sungguhpun begitu, bakul makanan untuk penduduk terlibat telah diedarkan sebanyak dua kali sepanjang PKPD itu berlangsung. – HARAKAHDAILY 21/7/2021

- Advertisement -