Exco hadiah motosikal mudahkan Pak Su Man ke masjid

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menghadiahkan sebuah motosikal beroda baharu kepada seorang warga emas kerana sering terjatuh ketika menunggang motosikal.

Beliau menyatakan terharu mendengar kisah warga emas yang mesra dengan panggilan Pak Su Man, 83, yang selalu solat fardu berjemaah di masjid walaupun menghadapi kesulitan.

Menurutnya, Pak Su Man adalah bilal di Masjid Tok Ku Paloh sejak 20 tahun yang lalu sehingga sekarang dan tidak pernah meninggalkan solat lima waktu secara berjemaah.

- Advertisement -

“Pak Su Man maklum pada saya yang dia sering jatuh bila bawa motor, mungkin kerana faktor usia dan kudrat yang tidak sekuat mana.

“Apabila saya dengar permintaan Pak Su Man yang perlukan motor roda dua, saya terus tak kata apa selain bersetuju untuk segera belikan motor tersebut buatnya,” ujarnya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, kelmarin.

Menurutnya, kelmarin motosikal beroda itu telah diserahkan kepada Pak Su Man untuk digunakam dalam aktiviti harian.

Beliau berkata, Pak Su Man terkejut apabila mendapat hadiah motosikal baharu.

“Tak berhenti mengukir senyuman di bibir. Alhamdulillah, Pak Su Man suka hadiah motor ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam.

Bagi Wan Sukairi, nilaian motor itu pasti tidak setanding dengan jasa Pak Su Man dalam perkembangan syiar Islam.

“Semoga dengan adanya motor baharu ini akan memudahkan lagi urusan Pak Su Man untuk ulang alik ke masjid,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/7/2021

- Advertisement -