ADUN Panching agih 1,000 ekor ayam

- Advertisement -

PAYA BESAR: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Panching terus menyantuni masyarakat terjejas akibat pandemik COVID-19 dengan mengadakan sumbangan Aidil Adha dan agihan ayam segar di sekitar DUN Panching, kelmarin.

Program bermula sejak 18 Julai lalu mensasarkan 1000 penerima terdiri daripada golongan asnaf serta masyarakat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 melibatkan sekatan pergerakan penuh (SPP) ketika ini. 

- Advertisement -

ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya, menggerakkan inisiatif ini bagi memastikan golongan asnaf serta masyarakat yang terjejas pendapatan turut dapat menikmati sedikit kegembiraan menyambut Aidil Adha yang tiba.

“Sumbangan ini merupakan lanjutan sumbangan COVID-19 sempena Aidil Adha. Walaupun sedikit, inilah yang kami mampu setakat ini. Diharapkan sumbangan ini dapat menceriakan mereka,” ujar beliau.

Ustaz Tarmizi turut mengharapkan lebih banyak pihak tampil bekerjasama dengan PKM ADUN Panching dalam menjayakan program kebajikan memandangkan sangat ramai masyarakat yang terjejas ketika ini.

“Marilah kita mengambil peluang yang Allah berikan sedikit kelebihan rezeki kepada kita bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk berkongsi rezeki,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar.

Para dermawan yang ingin menyumbang kepada golongan memerlukan termasuk golongan terjejas akibat COVID-19 boleh salurkan ke akaun Bank Muamalat 06010004266719 atas nama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Panching dan hubungi 016-2640 448 untuk sebarang pertanyaan. – HARAKAHDAILY 21/7/2021

- Advertisement -