Erti sebuah pengorbanan dalam mendepani pandemik Covid-19

Sumber foto Facebook KKM.
- Advertisement -

TAHUN ini sekali lagi seluruh umat Islam menyambut Aidiladha dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun negara dalam proses peralihan Program Pemulihan Negara (PPN) sejak diumumkan Mei lalu.

Aidiladha ini juga mengingatkan kita bahawa kita telah mengharungi pandemik Covid-19 ini lebih setahun yang lalu dengan kini statistik menunjukkan peningkatan kes yang amat membimbangkan. 

Menyusuri amalan bagaimana rakyat Malaysia meraikan Aidiladha dengan melaksanakan ibadah korban, mengadakan kenduri, pulang ke kampung dengan meneruskan amalan kunjung mengunjung, selain keutamaan sebelum ini ramai rakyat Malaysia turut berpeluang menunaikan ibadah haji di Mekah, namun kini ianya tidak lagi memenuhi takwim tahunan kita malah terus meninggalkan kesan yang mendalam kepada  semua umat Islam khususnya.

- Advertisement -

Apa yang lebih memberi kesan pastinya kepada penjawat awam yang dikenali sebagai barisan hadapan dalam memutuskan rantaian Covid-19 ini yang menjadikan pengorbanan mereka berganda dari sebelum dunia dilanda pandemik Covid-19 ini.

Jika sebelum ini, sebahagian penjawat awam ini terpaksa bertugas dalam meraikan Aidiladha tetapi masih mampu membuat penggiliran tugas sesama rakan setugas.

Namun kini, ianya tidak lagi apabila sejak 16 bulan lalu, pasukan perubatan, keselamatan, pertahanan, kecemasan dan perkhidmatan khusus digandakan penugasan malah ada yang tidak dapat langsung meraikan bersama keluarga tercinta kerana terikat dengan prosedur  operasi standard (SOP) yang ketat dalam penugasan seharian.

YM Raja Shah Erman Raja Arifin.

Penugasan berterusan dan risiko yang dihadapi penjawat awam ini dalam konteks mengharungi pandemik adalah erti pengorbanan yang sangat besar sebagaimana yang pernah dilalui oleh Nabi Ibrahim A.S kerana ini merupakan ujian Allah SWT kepada kita khususnya penjawat awam dan seluruh umat dunia amnya.

Pastinya untuk menyamai pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan keluarganya adalah pengorbanan agung, namun iktibar dari peristiwa tersebut dapat disimpulkan bahawa setiap perintah dan larangan Allah SWT adalah sebahagian ujian yang nyata dalam kehidupan.

Bayangkanlah setiap hari mereka ini berhadapan dengan ribuan rakyat di lokasi penugasan yang belum pasti tahap kesihatan dan jangkitan, sebenarnya mereka ini telah mengorbankan diri sendiri dan keluarga dengan berhadapan risiko jangkitan yang berada disekeliling mereka.

Untuk rekod, sudah ramai penjawat awam ini dijangkiti beserta penularan di kalangan keluarga serta turut menyumbang kepada kes kematian Covid-19.

Bukan itu sahaja, malah ada antara mereka yang terkorban di lokasi penugasan akibat sikap rakyat Malaysia yang tidak bertanggungjawab dalam melanggar peraturan semasa penguatkuasaan PKP dilaksanakan.

Jika hendak dinilai dari segi pengorbanan nyawa, pastinya ia mengingatkan kita bagaimana pejuang negara mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara terutamanya dari dulu hingga kini.

Namun kini, barisan hadapan ini berkorban untuk musuh yang tidak nampak dengan mata kasar dan berhempas pulas menyusun strategi demi memastikan sistem kesihatan negara dan kehidupan rakyat boleh kembali seperti sebelum ini.

Justeru itu, komitmen penjawat awam yang berterusan dalam menangani penularan pandemik Covid-19 ini dilihat telah memenuhi erti sebuah pengorbanan dalam konteks menunaikan tanggungjawab demi kelangsungan untuk memastikan khalifah muka bumi ini boleh terus menunaikan ibadah wajib dan dalam masa yang sama memastikan rakyat hidup dalam keadaan harmoni dan sejahtera seperti yang dituntut oleh agama.

Sebagai rakyat juga kita wajar berkorban dengan mengubah kehidupan sebelum ini kepada norma baharu serta mematuhi Undang-Undang dan arahan semasa untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini.

Janganlah kita mementingkan diri sendiri untuk mencapai sesuatu, seperti sanggup berbuat apa sahaja untuk pulang ke kampung bertemu keluarga, tetapi akhirnya ianya akan menyumbang semula kepada pertambahan kes dan lebih memeritkan kes tersebut melibatkan ahli keluarga yang kita kunjungi sebelum ini.

Mungkin kali ini kita gembira bertemu mereka, tapi jika ditakdirkan itulah kali terakhir juga kita bersama mereka kerana kesilapan kita sendiri.

Jadikanlah pengorbanan ini pengorbanan kita bersama dengan terus bertanggungjawab atas saranan Ulul Amri atau pemerintah untuk terus mendaftar dan mendapatkan vaksin agar kita boleh mewujudkan imuniti berkelompok dengan segera sekali gus mengembalikan semula kehidupan yang lebih selamat di samping meneruskan aktiviti sumber pendapatan yang banyak terjejas sejak krisis kesihatan global ini melanda negara kita.

Sesungguhnya, usaha, doa dan tawakal adalah prinsip pengorbanan yang menjadi paksi kepada pegangan hidup kita semua hingga hari ini.

YM RAJA SHAH ERMAN RAJA ARIFIN
Presiden
Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) – HARAKAHDAILY 20/7/2021

- Advertisement -