Aidiladha: Pengorbanan besar perantau tidak pulang

Datuk Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan yang tidak pulang untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga di kampung dianggap melakukan pengorbanan besar bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sambutan Hari Raya Korban kali ini masih lagi dalam suasana pandemik Covid yang belum reda.

Katanya anak perantau melakukan pengorbanan besar apabila berjaya menahan diri untuk pulang ke kampung dalam suasana wabak sekarang.

“Jangan abai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk kebaikan kita semua,” katanya pada perkongsian di laman sosialnya hari ini.

- Advertisement -

Anggota Exco kerajaan negeri Dr Izani Husin juga berharap rakyat Kelantan terus bersabar dengan memberi kerjasama menjayakan program imunisasi kebangsaan bagi mencapai imuniti berkelompok.

Katanya orang ramai hendaklah sama-sama berusaha untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang masih lagi menular sehingga sekarang.

“Saya juga tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan kepada petugas barisan hadapan berusaha gigih bagi mengekang penularan Covid,” katanya di sini.

Sementara itu suasana sambutan Hari Raya Aidiladha di Kota Bharu agak hambar di mana tiada aktiviti ziarah seperti lazimnya sebagai mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

Sebahagian besar umat Islam pagi tadi menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha bersama keluarga di rumah masing-masing memandang masjid mukim dan musalla hanya dibenarkan hanya empat jemaah.

Malah ada musalla tidak mengadakan solat sunat Aidiladha bagi mengelakkan ramai jemaah berkumpul kerana dibimbangi wujud pula kluster tempat ibadat seperti berlaku pada Ramadan lepas.

Aktiviti ibadat korban juga tidak ramai disertai penduduk tempatan memandang penganjuran korban untuk keluarga dan individu tidak dibenarkan di Kelantan sempena Aidiladha kali ini.

Ibadat korban hanya boleh dilakukan di kawasan masjid yang berpagar dengan syarat mendapat kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. – HARAKAHDAILY 20/7/2021

- Advertisement -