UMMAH sokong RCI tetapi tangguhkan IFSA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyokong penuh tindakan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memulihkan keyakinan urus tadbir Lembaga Tabung Haji (TH) kepada 8.3 juta pendeposit umat Islam di negara ini.

Bagaimanapun, Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata UMMAH memohon kerajaan menangguhkan sementara keputusan bagi meletakkan TH di bawah seksyen 223 Akta Perhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013, dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian dengan meneliti pengumuman sidang media Kementerian Kewangan pada 15 Julai lalu di mana terdapat dua perkara penting yang telah dinyatakan iaitu Jemaah Menteri bersetuju dengan penyenaraian Lembaga Tabung Haji sebagai sebuah institusi kewangan yang ditetapkan (prescribed Islamic financial institution) di bawah seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013, dan dikawal selia oleh BNM.

Kedua, kerajaan juga bersetuju menubuhkan sebuah RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi meneliti dapatan pengaudit untuk tempoh 2014-2018, serta langkah langkah pemulihan yang dilaksanakan oleh TH berdasarkan dapatan sehingga tahun 2020.

Mohd Zai Mustafa

Ini, kata Mohd Zai bagi membolehkan dapatan siasatan RCI dibentangkan dahulu kepada Parlimen dan pihak awam serta apakah cadangan yang akan dikemukakan oleh RCI dapat diperhalusi dahulu.

“Maka selepas daripada itu, barulah dilihat dengan teliti dan cermat apakah implikasi positif mahu pun negatif jika kerajaan berhasrat meletakkan TH di bawah kawal selia BNM,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ini, kata beliau bagi mengekalkan visi dan misi TH ditubuhkan, iaitu sebagai ‘Tongak Ekonomi Umat Islam’ dengan memperkasakan ekonomi ummah melalui pelaburan strategik umat Islam bagi menggembleng modal pendeposit untuk memberikan pulangan yang kompetetif berdasarkan patuh syariah.

Menurutnya, sejak asal penubuhan Lembaga Tabung Haji, adalah bagi tujuan melabur dan mengembangkan ekonomi umat Islam, Seksyen 4 (3) Akta Tabung Haji membenarkan TH dengan kebenaran menteri untuk menyertai apa-apa perkongsian, usahasama atau pengusahaan, memperoleh, memegang, menjual atau melupus syer dan sekuriti mana-mana badan serta menubuh syarikat untuk menjalankan aktiviti yang dirancang dan diusahakan oleh Lembaga Tabung Haji.

“Peruntukan ini membenarkan TH untuk membeli dan memegang pelbagai jenis saham dan aset bagi memperkukuhkan umat Islam dalam ekonomi Malaysia,” katanya lagi.

Tambahnya, Lembaga Tabung Haji telah berkecimpung dalam pelbagai industri seperti perladangan, kewangan Islam, hartanah dan pembangunan aset strategik dan lain-lain pelaburan yang memberi manfaat kepada umat Islam.

Beliau berkata, UMMAH bimbang sekiranya dengan meletakkan TH di bawah seksyen 223 (IFSA) akan menyekat peranan Lembaga Tabung Haji mengembang dan mengendalikan perniagaan strategik umat Islam di Malaysia.

Ini, ujarnya lagi sudah tentu bakal melumpuhkan peranan LTH untuk memperkasa ekonomi Muslim di dalam pelbagai bidang strategik pada masa depan.

“Sewajarnya keputusan besar dan penting ini mestilah dibuat dengan cermat dan teliti dengan mengadakan konsultasi umum dengan pihak berkepentingan serta dibentangkan di Parlimen,” tambahnya.

Menurut beliau, masih ada pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah governance urustadbir itu tetapi adalah tidak munasabah untuk menyelesaikan masalah tersebut, peranan asal TH berdasarkan Akta Tabung Haji 1995 disekat dan mungkin dipinda. – HARAKAHDAILY 19/7/2021

- Advertisement -