Positif vaksinasi: Perubahan SOP di bawah Fasa Satu, Dua PPN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan melakukan sedikit perubahan ke atas prosedur operasi standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Fasa Satu dan Fasa Dua, merangkumi sektor perkhidmatan, logistik dan sosial, berikutan perkembangan positif kadar vaksinasi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata untuk Fasa Satu PPN, kehadiran di pejabat bagi sektor awam ditingkatkan kepada 40 peratus dan tertakluk kepada arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN), manakala perkhidmatan perakaunan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus.

- Advertisement -

“Selain itu, pengoperasian lombong dan kuari adalah dibenarkan dengan kapasiti pekerja sehingga 60 peratus tertakluk kepada SOP perlombongan dan pengkuarian. Ini bagi memenuhi keperluan kepada projek-projek kritikal yang melibatkan pembaikan dan pembinaan jalan raya, jalan luar bandar serta persekutuan.

“Pelabuhan, lapangan terbang dan sektor logistik juga dibenarkan untuk beroperasi 24 jam,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PPN hari ini.

Beliau berkata operasi pasar harian dan pasar awam pula dilanjutkan dari pukul 6 pagi hingga 4 petang tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pematuhan SOP dan pengawasan anggota RELA atau PBT, manakala waktu operasi bagi Pasar Segar Terkawal (PST) akan dilanjutkan dari 7 pagi sehingga 2 petang.

Ismail Sabri berkata turut dibenarkan dalam Fasa Satu PPN ialah aktiviti berbasikal dan permainan individu yang boleh mengamalkan penjarakan fizikal dua hingga tiga meter, tetapi hanya di kawasan kejiranan.

Beliau berkata aktiviti yang dibenarkan di bawah Fasa Dua PPN pula ialah penggambaran filem di luar studio dengan pematuhan SOP ketat, dan waktu operasi premis perniagaan termasuk ‘specialty stores’ seperti stesen minyak ditetapkan dari 6 pagi hingga 10 malam.

Mengenai sektor perkilangan dan premis perniagaan, Ismail Sabri berkata daripada 17,182 premis merangkumi kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan dan asrama penempatan pekerja yang diperiksa semalam, sebanyak 31 premis diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

Merujuk kepada operasi pasukan petugas operasi pematuhan, beliau berkata 541 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam dengan 492 individu dikompaun manakala 20 lagi direman dan 29 dijamin.

“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -