Perutusan Khas Presiden PAS Aidiladha 1442H

ALHAMDULILLAH, marilah sama-sama kita menzahirkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT atas kurniaan rezeki dan kesempatan kepada kita selaku hamba-Nya untuk berpeluang menyambut Hari Raya Aidiladha pada tahun ini dengan penuh kesederhanaan.

Firman Allah SWT:

﴿لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقۡوَىٰ مِنكُمۡۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمۡ لِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُحۡسِنِينَ٣٧﴾

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal ikhlas yang berdasarkan taqwa daripada kalian. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kalian supaya kalian membesarkan Allah kerana mendapat ni‘mat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.” (Surah al-Hajj: 37)

Advertisement

Marilah kita menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang dirakamkan dalam al-Quran sebagai suatu semangat dan motivasi untuk berhadapan dengan ujian dan musibah yang melanda hari ini. Begitu juga menghayati falsafah ibadat haji yang menekankan soal perpaduan yang menjadi teras kekuatan umat Islam.

Justeru, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya dengan penuh sukacitanya ingin mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidiladha” kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam tidak kira mana jua kalian berada.

Saya juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh barisan hadapan atas pengorbanan sepanjang wabak Covid-19 yang menguji kita hari ini. Semoga kalian senantiasa diberikan keberkatan dan keampunan Allah SWT atas jihad dalam memelihara kesihatan dan menyelamatkan nyawa insan.

Mudah-mudahan, seluruh rakyat Malaysia terus bekerjasama dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa sambutan Aidiladha dan selepasnya. Di samping itu, sama-sama berusaha menjayakan program imunisasi negara ke arah mencapai herd immunity (imuniti kelompok).

Insya-Allah, kita pasti akan memenangi perang ke atas wabak ini berkat perpaduan dan pengorbanan kita bersama, seterusnya melahirkan sifat taqwa dalam diri kita semua.

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، ولله الحمد.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 19/7/2021