Ibadat korban dan fadilatnya

Dato' Dr Mahfodz Mohamed
- Advertisement -

Oleh DATO’ DR MAHFODZ MOHAMED

BILA masuk bulan Zulhijjah umat Islam di seluruh dunia berlumba-lumba untuk menunaikan ibadah korban iaitu dengan menyembelih binatang seperti unta, lembu, kerbau dan kambing pada Hari Raya Adha iaitu tanggal 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasyrik semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ibadah korban atau dalam bahasa arabnya disebut Udhiyah telah disyariatkan pada tahun kedua Hijrah berdasarkan kepada Al Quran, As Sunnah dan ijmak ulama.

Firman Allah yang bermaksud; “Oleh itu kerjakanlah solat kerana Tuhan mu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (Al Kauthar: 2)

- Advertisement -

Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin di Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu pada menyembelih unta yang tersebut ada kebanyakannya pada kamu,” (Al Haj: 36)

Dan hadis daripada Anas r.a di berkata bahawa Nabi Muhammad SAW telah menyembelih dua ekor kambing berwarna putih yang mempunyai dua tanduk. Saya melihat Baginda SAW meletakkan kambing itu di bawah dua kakinya dengan menyebut Allah dan bertakbir dan Baginda menyembelih dengan tangannya.” (Nailul Awtar jilid 5 129-130)

Dan seluruh ulama telah sampaikan tentang persyaritan ibadah korban ini. Antara kelebihan ibadah korban ialah seperti hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah radhiallahu anha Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya; “Tidak ada amalan anak Adam daripada amal di hari Raya Udhiyah yang lebih disukai oleh Allah daripada mengalirkan darah binatang korban. Sesungguhnya ianya akan datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya dan rambutnya serta kuku-kukunya dan sesungguhnya darah korban akan diterima oleh Allah sebelum daripada menitisnya darah korban di bumi.” (Diriwayatkan oleh At Tarmidzi)

Hikmah di sebalik pensyariatan ibadah korban ialah tanda kesyukuran atas nikmat Allah yang tidak terkira banyaknya dikurniakan sepanjang tahun dan juga dengan menunaikan ibadah korban boleh menghapuskan dosa-dosa kecil serta ibadah korban juga sedikit sebanyak boleh meringankan beban orang yang dalam kesempitan.

Selain dari itu ibadah korban diadakan untuk mengingati peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang hendak mengorbankan anaknya Nabi Ismail sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Nabi Ibrahim berkata; “Wahai anak kesayanganku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelih mu maka fikirkanlah apa pandangan mu. Anaknya menjawab; “Wahai ayah jalankan apa yang diperintahkan kepada mu, insya Allah ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar.” (Ash Shaffat: 102)

Hukum-hukum berkaitan ibadah korban

Kebanyakan ulama berpendapat bahawa menunaikan ibadah korban adalah sunat muakad maka makruh orang yang ada kemampuan untuk tidak melakukannya berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Bahawasanya Nabi telah menyembelih dua ekor kambing berwarna putih yang mempunyai dua tanduk yang mana Nabi SAW menyembelih sendiri dengan tangannya.” (Bukhari dan Muslim)

Dan hadis daripada Ummu Salamah yang bermaksud: “Jika kamu melihat bulan Zulhijjah dan jika kamu hendak menyembelih binatang korban hendaklah kamu tidak memotong kuku dan rambutnya.” (Muslim)

Dalam Mazhab Syafie bahawa hukum menyembelih seekor binatang korban itu adalah sunat kifayah iaitu memadai bagi ketua rumah dan seisinya berdasarkan kepada hadis Mihnaf Sulaim katanya; “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; “Wahai sekalian manusia bagi tiap-tiap ahli keluarga dan tiap-tiap tahun itu satu binatang korban.” (Ibnu Majah dan At Tarmidzi)

Adalah diriwayatkan bahawa Syadina Abu Bakar dan Syadina Umar Al Khattab r.a tidak menyembelih korban kerana bimbang orang ramai akan menganggap ianya wajib.

Pada dasarnya hukum menyembelih korban itu adalah sunat muaakad tetapi boleh bertukar menjadi wajib dalam dua keadaan: Pertama jika ianya dinazarkan kerana sabda Rasulullah SAW maksudnya; “Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah dan Rasul-Nya maka hendaklah dia mentaati-Nya walaupun jika dia mati hendak dia menggantikan apa yang telah dinazarkan.”

Yang kedua jika binatang korban itu telah ditentukan umpama dia berkata, lembu itu untuk dikorbankan atau yang kambing ini kerana Allah.

Waktu penyembelihan korban ianya selepas terbit matahari pada Hari Raya Adha dan selepas selesai solat sunat Aidil Adha sekalipun ke tanggal 13 hari Tasyrik. (Hadis diriwayat Al Barra’)

Sampai Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang mula-mula kami lakukan pada hari ini (hari Aidil Adha) bahawa kami lakukan solat Aidil Adha kemudian kami balik rumah dan lepas itu kami sembelih korban. Barang siapa yang lakukan demikian ia telah menepati sunahku dan siapa yang menyembelih korban sebelum itu maka dagingnya menjadi daging yang diberikan kepada ahlinya dan bukan dari daging korban.

Kepada mereka yang melakukan ibadah korban disunatkan menyembelih binatang korbannya dengan membawa Bismillah, Allahu Akhbar, Allahuma Haza An Falan, maksudnya; “Dengan Nama Allah, Allah Yang Maha Besar binatang korban ini daripada si fulan bin fulan maka terimalah amalan korban kami. Kepada yang tidak pandai menyembelih sebaik-baiknya dia datang menyaksikannya.”

Sabda Rasulullah maksudnya; “Kepada Fatimah r.a, Ya Fatimah bangun dan saksikan binatang korban kamu maka sesungguhnya Allah mengampunkan dosa kamu ketika darah korban mula menitis ke bumi, bagi tiap dosa yang kamu lakukan.”

Disunatkan bagi orang yang menunaikan korban untuk makan sedikit daripada daging korbannya dan menghadiahkan bakinya kepada kaum kerabat dan yang bahagiannya disedekahkan kepada fakir miskin. Sabda Rasulullah SAW maksudnya; “Makanlah dan berilah makan kepada (fakir miskin) dan simpan sedikit”. – HARAKAHDAILY 19/7/2021

Penulis ialah Pengerusi Assabiqun PAS Pusat.

- Advertisement -