Era PH hanya tahu potong subsidi rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan tidak dapat membayangkan keadaan yang menimpa rakyat jika pentadbiran kerajaan hari ini terus diperintah Pakatan Harapan (PH) ketika penularan wabak Covid-19.

Ketuanya, Mohd Ariff Abdullah berkata, beliau percaya jika PH terus kekal, rakyat tidak dapat melihat satu angka yang besar dibelanjakan untuk memastikan kehidupan rakyat ketika pandemik tersebut.

Beliau yakin kerajaan yang hanya bertahan selama 22 bulan itu tidak dapat melakukan seperti apa yang dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memberi pelbagai manfaat dan bantuan kepada rakyat terjejas.

- Advertisement -

“Lapan pakej bantuan yang diumumkan kerajaan sekarang melibatkan setakat ini RM550 bilion, jumlah yang besar diberikan kepada rakyat, saya percaya kalau PH memerintah lagi angka besar itu tidak dapat dilihat.

“Sepanjang 22 bulan apa yang mereka beri kepada rakyat melainkan memotong subsidi itu dan ini dengan alasan negara kekurangan dana kerana pembaziran kerajaan lalu. Rakyat hanya dapat RM30 dalam bentuk e-wallet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pentas maya anak muda yang disiarkan secara langsung di Kelantan TV bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin semalam.

Mohd Ariff turut meminta rakyat Kelantan supaya bersatu dan bekerjasama menyokong agenda kerajaan sekarang bagi memastikan tiada rakyat yang terjejas ketika negara sedang berperang dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, usaha tersebut merupakan sebahagian sumbangan rakyat kepada negara serta tidak memberi sokongan bagi mengagalkan usaha dan agenda kerajaan pusat dan negeri untuk memutuskan penularan wabak Covid-19.

“Kita tahu ada pihak seperti mahu kes Covid-19 semakin tinggi kerana nak suruh rakyat marah kepada kerajaan. Kita tahu ada juga sebahagian rakyat bertindak seperti itu.

“Kita tidak mahu orang yang bersifat seperti itu, kita hendak biar dalam keadaan genting sekali pun, kita mahu rakyat Malaysia bersatu dan pastikan wabak ini terus berkurangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/7/2021

- Advertisement -