Doa ketika menyembelih korban

RAMAI antara kita yang akan menjalankan ibadah korban pada esok hari insya-Allah. Asasnya, proses penyembelihan, melapah dan keratan asas digalakkan untuk dilaksanakan di rumah penyembelihan.

Penyembelihan yang dilakukan di kawasan masjid dan surau pula hendaklah sesuai, selamat dan tidak berhampiran saliran awam serta mendapat kebenaran pihak berkuasa. 

Advertisement

Selain itu, sembelihan korban selain daripada rumah sembelihan, hendaklah tidak melebihi 5 ekor sehari, bilangan petugas tidak melebihi 10 orang bagi setiap haiwan dan mengelakkan 3S (tempat yang sesak, tempat sempit dan tertutup dan bersembang dekat-dekat).

Di samping menjaga SOP yang telah ditetapkan, amalan-amalan sunnah yang boleh dilakukan ketika proses penyembelihan juga jangan ditinggalkan.

Rasulullah S.A.W telah mengajar kepada kita bacaan yang sunnah dalam melakukan sembelihan korban. Di antaranya ialah Hadis Riwayat Anas bin Malik R.A, katanya:

 «ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ، وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا»

 “Rasulullah S.A.W berkorban dengan dua ekor kibas yang gemuk dan bertanduk, Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangannya sendiri. Baginda membaca basmalah dan bertakbir (Bismillahi Allahu Akbar), meletakkan kakinya di atas sisi tubuh sembelihannya.”

(Sahih al-Bukhari, no.5565 dan Sahih Muslim, no.1966)

Dalam satu Hadis yang lain: 

أَمَرَ بِكَبْشٍ أَقْرَنَ يَطَأُ فِي سَوَادٍ وَيَبْرُكُ فِي سَوَادٍ وَيَنْظُرُ فِي سَوَادٍ لِيُضَحِّيَ بِهِ فَقَالَ : اِشْحَذِي اَلْمُدْيَةَ ثُمَّ أَخَذَهَا فَأَضْجَعَهُ ثُمَّ ذَبَحَهُ وَقَالَ: بِسْمِ اَللَّهِ اَللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمّةِ مُحَمَّدٍ 

“Nabi S.A.W pernah menyuruh agar dibawakan seekor kibas yang bertanduk, kuku dan perutnya hitam dan sekeliling matanya hitam. Lalu kibas tersebut dibawa ke hadapan Baginda S.A.W untuk dijadikan korban. Baginda pun bersabda (kepada Aisyah), “Asahlah (pisau) dengan batu pengasah.” Kemudian Aisyah mengasahnya dan Nabi S.A.W membaringkan haiwan tersebut lalu menyembelihnya. sambil mengucapkan, “Bismillah. Ya Allah terimalah korban ini daripada Muhammad, keluarga Muhammad dan umat Muhammad.””

(Sahih Muslim, no. 1967)

Disunatkan menyebut nama Allah serta bertakbir ketika menyembelih haiwan korban sebagai menzahirkan kesyukuran kepada Allah S.W.T atas nikmat dan kurniaannya yang melimpah ruah.

Ia juga membezakan sembelihan yang disyariatkan dalam Islam berbanding perbuatan korban pada zaman Jahiliyah yang mempersembahkan binatang korban untuk memuja berhala-berhala.

Korban sebagai syiar agama tetap kita laksanakan walaupun dalam situasi wabak COVID-19. Mudah-mudahan ibadah kita semua diterima Allah dan tahun depan dapat kita laksanakannya dengan lebih meriah bersama orang kampung dan ahli keluarga.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 19/7/2021 

Sumber Asal: https://www.facebook.com/446352142470360/posts/1221309104974656/