Cadangan ikhtiar ekonomi rakyat

- Advertisement -

SEJARAH monopoli tanah

Kenapa anak-anak muda tertumpu di bandar? Masing-masing tersepit dengan ketepuan kota. Dengan kos hidup yang tinggi, dan peluang pekerjaan yang terhadap, adakah itu jalan penyelesaiannya? Untuk memahami hal ini, kita perlu memahami sejarah panjang Kapitalisme.

- Advertisement -

Kapitalisme sangat berkait rapat dengan monopoli tanah. Di zaman kemunculan Kapitalisme di Barat, kerajaan telah menetapkan polisi-polisi khusus. Ada yang mengamalkan pemagaran tanah (enclosure). Iaitu tanah tanah kecil yang dimiliki rakyat, atau tanah lapang dipagar. 

Kesannya, petani-petani kecil akan kehilangan tanah. Lalu, apabila rakyat tidak memiliki tanah, masing-masing terpaksa menjual tenaganya kepada para tauke sebagai pekerja bagi tanah tanah tersebut atau berhijrah ke bandar sebagai buruh perindustrian. Rakyat terpaksa tertumpu di kota bagi mendapatkan pekerjaan, atau menjadi hamba di tanah tanah desa.

Sampai satu masa, apabila berlakunya lambakan pekerja (buruh) manakala peluang pekerjaan semakin tipis, berlakulah penindasan. Upah yang dibayar kepada para pekerja tidak cukup. Namun, para pekerja tidak punya jalan lain, terpaksa ‘mengabdikan’ diri kepada para tauke untuk meneruskan survival hidup.

Justeru, kita perlu faham bahawa kita boleh memiliki aset yang besar dengan memiliki tanah. Kerajaan yang prihatin kepada rakyatnya, perlu merangka satu sistem yang boleh memudahkan pemilikan tanah kepada rakyat, bukan kepada tauke kapitalis.

Pemilikan tanah sebagai penyelesaian

Bagaimana untuk memperkasakan ekonomi rakyat? Ia berasaskan pertanian dan penternakan. Maksudnya, cukupkan keperluan rakyat dengan perusahaan tempatan (local). Kurangkan kebergantungan terhadap bahan makanan import. Apatah lagi import hari ini kita masih terikat dengan konsep تلقى الركبان, monopoli dagangan.

Tanah di Malaysia cukup untuk menampung keperluan makanan rakyatnya, sekiranya tiada unsur الحمى monopoli tanah. Kerajaan perlu menyokong serta memudahkan urusan penerokaan tanah dan pemilikan bagi rakyat. 

Rakyat biasa tidak akan memonopoli tanah kerana terikat dengan syarat kemampuan urus tanah dalam tempoh yang ditetapkan. Antaranya syarat perusahaan tanah yang diteroka ialah selama 3 tahun sahaja mengikut konsep إحياء الموات

Selama 3 tahun, berapa ekar yang mampu diusahakan, sekadar itulah miliknya. Maksudnya, ia akan menjadikan mereka meneroka tanah mengikut kadar kemampuan sahaja. Tak mampu nak teroka puluhan ekar kerana kos nak teroka tanah pun tinggi juga.

Walaupun kita lihat proses pemilikan tanah agak payah dari banyak sudut, persempadanan dan perlu melalui banyak lapisan mesyuarat, jadi Kerajaan boleh gunakan konsep الاقطاع (penganugerahan tanah) yang mesti dijadikan sebagai ‘projek kebajikan’.

Gangguan politik

Tidak dinafikan, kadangkala terdapat ‘gangguan’ politik dalam kelulusan tanah. Apatah lagi jika kaedah الاقطاع ini terlaksana. Contohnya orang politik akan membayangi kelulusan yang cuba dibuat di peringkat Pegawai Daerah (DO) yang biasanya dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah (JKTD).

Bimbang mereka yang sepatutnya dapat tanah, tetapi tak dapat. Manakala rakan taulan atau pihak ada hubungan dengan orang politik mudah pula dapat tanah. Sekiranya konsep إحياء الموات ditetapkan, maka pihak ada hubungan dengan ahli politik yang dapat tanah pun, tak boleh monopoli kerana dihadkan kepada kemampuan menguruskannya dalam tempoh 3 tahun.

Namun, apa yang perlu diperhatikan ialah orang politik haruslah berhenti bermain politik. Perlu hayati dan rasai keperitan dan keperluan masyarakat tempatnya yang memerlukan tanah. Para YB di DUN perlu diberi kefahaman terhadap keperluan tanah bagi menyuburkan lagi ekonomi rakyat. 

Sekiranya tidak, dikhuatiri ini akan terus menerus mengamalkan diskriminasi terhadap pemilikan tanah oleh rakyat tempatannya. Begitu juga di peringkat Kerajaan Negeri, dan juga Pejabat Tanah dan Galian yang juga perlu fikirkan keutamaan rakyat. Bukan hanya melayan kehendak tauke.

Janganlah sampai sewenang-wenangnya meluluskan tanah ratusan atau ribuan hektar kepada seorang tertentu yang berkepentingan, sehingga menyebabkan tanah semakin sikit. Inilah yang dinamakan sebagai monopoli tanah الحمى yang saya nyatakan di awal tadi.

Apabila tanah dimonopoli oleh para tauke kapitalis, maka tanah tanah yang berbaki, apatah lagi sukar untuk dimiliki disebabkan kerenah birokrasi, akhirnya menyebabkan harga tanah melambung. Rakyat terpaksa buat loan puluhan tahun untuk memiliki hartanah.

Apabila rakyat memiliki tanah

Apabila rakyat mudah memiliki tanah, pastinya harga hartanah semakin rendah. Hartanah yang dijual dengan harga yang mahal, tidak akan dibeli, justeru memaksa para pemaju untuk menurunkan harga hartanah tersebut. Itupun sekiranya Kerajaan Negeri fikirkan mengenai rakyat di negerinya.

Untuk memahami konsep ini dengan mudah adalah dengan melalui istilah ‘demand and supply’. Sifirnya adalah apabila permintaan terhadap tanah itu tinggi, manakala tanah yang nak diberi itu sedikit, maka harganya akan semakin melambung. Begitulah sebaliknya.

Justeru, untuk menurunkan harga hartanah ialah dengan memudahkan urusan pemilikan tanah. Apabila tanah mudah dimiliki oleh rakyat (yang bukan tauke), maka hartanah yang dijual oleh pemaju dengan harga yang tinggi akan menjadi ‘tidak laku. Ini kerana, rakyat boleh mendapatkan tanah sendiri dengan mudah, dan bina rumah sendiri dengan kos yang jauh lebih rendah.

Apabila hartanah yang dijual oleh pemaju tidak laku, ia memaksa mereka menurunkan harga hartanah supaya berbaloi untuk dimiliki. Bahkan, jika peluang meneroka tanah semakin cerah, sudah pasti anak-anak muda boleh kembali ke desa mengusahakan tanah sendiri, dan tidak bergantung dengan makan gaji di bandar.

Anak anak muda hari ini seolah-olah telah terikat untuk bekerja di bandar. Mereka hanya memikirkan ‘peluang pekerjaan’ seolah-olah ia adalah satu satunya jalan untuk teruskan survival hidup. Cuba fikirkan, maqasid bekerja adalah untuk hidup, tetapi sekiranya bekerja sehingga tahap ‘no life’ itu bukan lagi maqasid.

Kembalilah ke desa, dan usahakan tanah yang ada. Beruntunglah bagi mereka yang sudah ada tanah sendiri di kampung, atau tanah pusaka. Berbaktilah dengan bercucuk tanam, dan penternakan dalam sekala kecil (ikut kemampuan). Usaha seperti inilah yang boleh dikatakan sebagai meneruskan ‘survival hidup’.

Penternakan dan Pertanian

Allah S.W.T berfirman:

‎هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا

“Dia-lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.”

(Hud: 61)

Kedua-dua konsep ini merupakan ‘sumber’ makanan bagi manusia. Dengan memiliki tanah, seseorang itu hanya perlu mengeluarkan modal yang sangat rendah untuk membeli benih pokok, atau membeli sepasang binatang. Benih yang murah boleh menumbuhkan pokok, sepasang binatang akan membiak biak.

Pastinya konsep penternakan dan pertanian ini memerlukan tanah. Kita perlukan makanan. Kalau makanan sudah cukup, kita tak perlukan duit yang banyak pun untuk hidup. Sekadar untuk melengkapkan keperluan makanan atau keperluan lain. Contohnya tanah kita tidak sesuai untuk penanaman padi, jadi kita perlu membeli beras di kedai.

Ya, kita perlu membeli menggunakan duit, tetapi kosnya jauh lebih rendah dan jimat. Kita tidak perlu fikir untuk membayar sewa rumah di bandar kerana kita boleh membina rumah di tanah sendiri. Ya, kita perlu gunakan duit untuk membeli simen dan bata untuk membuat rumah, tetapi tidaklah semahal membeli rumah yang sudah siap dibina oleh pemaju.

Hidup menternak dan bertani walaupun kelihatan susah, tetapi ia membantu menampung keperluan hidup. Tanaman yang berlebihan boleh dijual di pasar. Ternakan yang sudah lebih dari mencukupi keperluan sendiri, juga boleh dijual.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 19/7/2021

- Advertisement -