Bacaan Yasin, tahlil untuk Allahyarham Adib dan rakyat Malaysia

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Program Munajat Perdana Selamatkan Malaysia anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), bacaan Yasin dan tahlil kepada Anggota Bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, mantan Setiausaha Agung UMMAH, Mansor Ibrahim serta rakyat Malaysia yang terkorban akibat Covid-19 berjalan lancar pada Sabtu.

Selain itu, doa Munajat yang diketuai Presiden Cakna Rakyat, Roslan Md Esa memohon keselamatan kesihatan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia ketika di ambang pandemik yang semakin serius ini.

- Advertisement -

Terdapat juga tazkirah mengenai kepentingan keamanan dan kestabilan negara serta bacaan doa agar rakyat Malaysia dijauhi dari segala bala dan bencana.

“Malam ini kita telah mengadakan tahlil arwah, khusus kepada Almarhum Adib dan Haji Mansor yang telah mengawali kita ke rahmatullah.

“Tidak lupa kepada zikir munajat kita dan mendoakan juga untuk almarhum yang telah pergi lebih awal khasnya Covid-19 ini dan mudah-mudahan Allah SWT mencucuri rahmat ke atas mereka.

“Mereka dijemput dalam keadaan syahid, insyaAllah. Sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis yang meninggal kerana wabak penyakit,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam program tersebut yang berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi Zoom yang turut disiarkan secara langsung di laman Facebook dan YouTube Rasmi UMMAH, pada Sabtu.

Program turut dihadiri Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Pendakwah Terkenal merangkap Timbalan Presiden Geng Ustaz, Ahmad Dusuki Abdul Rani; Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Senator Nuridah Mohd Salleh dan Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa.

Munajat Perdana merupakan anjuran bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Cakna Rakyat Malaysia, MyHawa, Pertubuhan Pencinta Ulamak, dan Perarakan Malaysia.

Sementara itu, UMMAH turut melancarkan tabung kebajikan untuk misi bantuan dan sumbangan kepada golongan memerlukan, terutamanya miskin bandar untuk agihan barangan keperluan seperti susu, lampin pakai buang dan sebagainya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh dibuat melalui akaun CIMB 8604742586 atas nama Pertubuhan Gabungan UMMAH Malaysia dan sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi ke talian 019-9389672. – HARAKAHDAILY 19/7/2021

- Advertisement -