Ahli Parlimen dibenar berbahas pada sidang khas

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ahli-ahli Parlimen boleh berbahas pada Persidangan Khas yang akan diadakan secara fizikal pada 26 Julai hingga 2 Ogos ini, yang boleh dihadiri 220 Ahli Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, seramai 220 ahli parlimen boleh menghadiri sidang Parlimen dan mereka dibenarkan untuk berbahas serta mengemukakan soalan.

Katanya Yang Dipertua Dewan Rakyat akan menentukan perbahasan berkenaan dan berapa lama hendak berbahas dan terpulang kepada keputusannya.

- Advertisement -

“Secara pokoknya, saya hendak sebutkan dengan jelas kebenaran daripada speaker untuk Ahli Parlimen membahaskan dan mengemukakan soalan atas saranan Perdana Menteri.

“Saya pohon dalam surat daripada Perdana Menteri kepada Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan jelas mengatakan Perdana Menteri meminta kebenaran daripada speaker supaya membenarkan Ahli Parlimen membahaskan isu yang dibincangkan.

“Asalkan tidak melanggar tatacara berbahas serta tidak disekat speaker. Ini menunjukkan kerajaan kita telus,” ujarnya ketika ditemui di majlis pengagihan Bakul Makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu di sini hari ini.

Tambahnya, ahli Parlimen boleh mengambil bahagian dan memberi pandangan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya perkara tersebut dibincangkan di Dewan Rakyat.

Takiyuddin juga berkata, kerajaan akan melaksanakan sebagaimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya juga Persidangan Khas Parlimen itu akan membincangkan tiga agenda ditentukan Perdana Menteri iaitu membentangkan proklamasi darurat diisytiharkan pada 11 Januari lalu.

“Proklamasi darurat dan ordinan darurat dibuat akan dibentang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Agenda kedua, kita akan membentangkan proklamasi darurat yang dibuat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Gerik dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah. Ia dibuat pada Disember lalu, tetapi belum dibentangkan lagi.

“Agenda ketiga ialah penerangan menteri berkaitan dengan masalah Covid-19 dan darurat, sebab ia adalah persidangan khas,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/7/2021

- Advertisement -