MP boleh mencelah, tanya soalan pada Sidang Khas Parlimen

- Advertisement -

KUANTAN: Ahli Parlimen boleh mencelah dan bertanya soalan malah berbahas pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang akan berlangsung selama lima hari mulai 26 Julai, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata penggunaan perkataan ‘penerangan daripada menteri’ pada takwim Parlimen adalah sebagai istilah dan tidak bermaksud ‘wakil rakyat hadir ke Parlimen sekadar untuk mendengar penerangan kerajaan’.

- Advertisement -

“Istilah “Penerangan daripada menteri’” itu adalah bermaksud menteri akan menyampaikan penerangan tentang sesuatu dan setakat yang saya tahu, standing orders (peraturan-peraturan mesyuarat) membenarkan Ahli Parlimen untuk mencelah dan bertanya.

“… dan terpulang kepada Speaker jika hendak memberikan masa untuk dibahaskan. Bukan bermakna seseorang menteri itu bercakap dan yang lain mendengar sahaja,” katanya pada sidang media secara maya selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan sekitar Parlimen Indera Mahkota, di sini hari ini.

Saifuddin berkata demikan semasa diminta mengulas tindakan segelintir ahli Parlimen pembangkang yang berpendapat lebih baik sidang khas Parlimen pada hujung bulan ini diadakan secara maya termasuk secara ‘Facebook live’ jika, sekadar mendengar kuliah menteri.

Saifuddin juga mengalu-alukan soalan termasuk daripada warganet yang kurang jelas mengenai penggunaan istilah ‘penerangan daripada menteri’ dan menyifatkan ia sebagai perkembangan sihat yang memberi peluang kepada beliau dan teman-teman kerajaan untuk memberi penjelasan sebenarnya.

Menerusi program hari ini, selain menyantuni individu yang layak, sumbangan bakul makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) itu turut diberikan kepada Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) Pahang melalui Pengerusinya Datuk Seri Ng Chong Keong.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata semua 6,000 bakul makanan menggunakan peruntukan RM300,000 di bawah PEMULIH yang diterimanya sudah selesai diagihkan hari ini, sejak dimulakan pada 10 Julai lepas.

Bakul makanan bagi Parlimen Indera Mahkota, menurut Saifuddin, berisi 11 barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, milo, minyak masak dan susu menggunakan peruntukan PEMULIH, manakala sumbangan pelitup muka dan cecair basmi kuman menggunakan peruntukan Ahli Parlimen.

“Selepas ini, kita akan teruskan dengan pemberian bakul makanan sumbangan pelbagai pihak lain, termasuk daripada Perikatan Nasional (PN) yang menyediakan bakul makanan untuk semua 222 kawasan Parlimen dengan setiap satu akan menerima 500 unit.

“Sebagai Pengerusi PN Negeri, saya telah bermesyuarat dengan pihak terlibat dan melantik koordinator untuk pengagihan bakul makanan ini, melibatkan tujuh daripada PAS, Bersatu (enam) dan seorang daripada Gerakan,” katanya.

Saifuddin yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memaklumkan pihaknya jika ada individu yang layak menerima bantuan bakul makanan walaupun tidak dikategorinya sebagai B40, mengambil kira kesan pandemik COVID-19.

Katanya, sebelum ini terdapat data mengenai penerima B40 daripada pelbagai pihak termasuk sistem e-Kasih, namun kini akibat pandemik yang berpanjangan, ramai yang telah kehilangan mata pencarian dan mereka ini tidak dimasukkan dalam data berkenaan.

“Kita tahu semakin ramai terkesan kerana jumlah yang menelefon atau walk-in ke Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota menunjukkan peningkatan, menyebabkan kita sentiasa menambah barangan di gerobok asnaf termasuk meletakkan susu bayi dan lampin pakai buang,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -