Hisablah diri kamu sebelum dihisab pada hari kiamat

Dato' Dr Mahfodz Mohamed
- Advertisement -

Oleh DATO’ DR MAHFODZ MOHAMED

SESUNGGUHNYA seorang mukmin itu percaya adanya hari kiamat dan hari pembalasan serta percaya adanya buku catatan amal maka ia akan dihisab pada hari kiamat dengan penuh keadilan dan ketelitian. Sesungguhnya setiap amal yang dilakukan di dunia ini walau sekecil zarah akan dibalas dengan ganjaran atau keseksaan.

Oleh yang demikian kita sebagai hamba-hamba Allah tidak boleh ambil mudah tentang iman kita, amal perbuatan kita dan akhlak kita. Kita perlu menjaga dan mengawal segala amalan-amalan kita, tindak tanduk kita serta kelakuan kita semasa di dunia ini, seperti mana ahli-ahli perniagaan membuat perhitungan dan muhasabah pada setiap hari atau bulan dan setiap tahun untuk mengetahui untung rugi perniagaan mereka.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amal) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan) bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al Hasyr: 18)

- Advertisement -

Syaidina Ali ibnu Abi Thalib r.a pernah berkata maksudnya: “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab dan timbanglah (diri kamu) sebelum kamu ditimbang.” (Ghurar Al-Hukm: 385)

Daripada Syaidina Ali r.a berkata lagi maksudnya: “Bukan dari golongan kami orang yang tidak menghisab dirinya pada tiap-tiap hari. Jika dia membuat kebaikan, Allah akan tambah kebaikannya dan jika dia buat kejahatan dia akan memohon keampunan Allah dan bertaubat kepada-Nya.”

Sebagai manusia, modal yang paling berharga ialah umur kita yang terhad di dunia ini, mesti dikira berapa jam, berapa hari, berapa bulan dan tahun dan berapa banyak amalan-amalan soleh yang sudah kita lakukan. Kerana makin hari makin hampir kita menemui maut. Jika kita dapat melakukan amal-amal yang soleh yang akan menjadi bekalan di akhirat beruntunglah kita kerana akan mendapat jaminan kebahagiaan hidup di akhirat.

Sebaiknya jika modal umur itu disia-siakan sepanjang hayatnya dengan tidak melakukan amal-amal soleh malahan melakukan kejahatan dan kemungkaran maka ia akan menanggung kerugian yang besar di akhirat nanti.

Oleh yang demikian maka kepada sesiapa yang hendakkan hidup bahagia di akhirat dan takut akan hisab pada hari kiamat yang amat terperinci serta azab seksa yang amat pedih, maka wajiblah dia mengawal dan menjaga dirinya dan tindak tanduknya semasa di dunia ini serta membuat hisab dan perhitungan amal-amalnya secara tepat dan terperinci sebelum dia dihisab pada hari kiamat nanti.

Sebagai manusia perlulah mengambil masa untuk merenung dan memikirkan pada tiap-tiap hari bagi menghisab amal-amalnya. Alangkah baiknya jika ia mengambil masa sedikit ketika lapang dan ketika hendak tidur, merenung dan memikirkan tentang apa yang sudah dilakukan sepanjang hari itu.

Berapa amal-amal soleh yang dilakukan jika pada hari itu dia sudah melakukan amal-amal soleh maka dia bersyukur kepada Allah kerana dengan bersyukur dia akan menambah lagi amal-amal solehnya. Dan jika dia telah melakukan dosa dan maksiat pada hari itu maka dia perlu menyesal dan tinggalkan maksiat serta bertaubat kepada Allah.

Begitulah sepatutnya sebagai seorang mukmin yang melakukan kesalahan hendaklah memohon ampun kepada Allah serta bertaubat dan berazam untuk tidak melakukan dosa lagi dan diganti dengan melakukan amal-amal soleh seperti membelanjakan hartanya pada jalan Allah, banyak berpuasa sunat, banyak membaca Al-Quran dan bertadabur dengannya, solat tahajud dan lain-lain.

Ala kulli haal kita wajib melawan nafsu amarah dengan bersungguh-sungguh dan jangan mudah untuk menyerah kalah.

Begitulah cara kita menghisab diri kita di dunia ini dengan penuh ketelitian. Kerana sesiapa yang menghitung dirinya di dunia ini akan dipermudahkan hisabnya di akhirat bahkan akan ada setengah orang yang akan dimasukkan ke syurga tanpa hisab.

Maksud firman Allah yang bermaksud: “Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka pula tidak dikurangkan pahalanya sedikit pun.” (Surah Maryam: 60)

Nabi Muhammad SAW berwasiat kepada Abu Dzar r.a maksudnya: “Wajib ke atas orang yang berakal mempunyai beberapa saat tertentu; satu saat untuk bermohon dan bermunajat kepada Tuhan-Nya. Satu saat untuk muhasabah dirinya dan satu saat untuk berfikir mengenai kekuasaan dan ciptaan Allah Taala untuk makhluk-Nya.” – HARAKAHDAILY 18/7/2021

Penulis ialah Pengerusi Assabiqun PAS Pusat.

- Advertisement -