Fikrah Islam neraca menilai musibah Covid-19

Oleh USTAZ NIK BAKRI NIK MAT

Advertisement

PEMIKIRAN yang matang lagi positif terbit daripada fikrah Islam yang benar merupakan nikmat yang amat bernilai kepada seorang Muslim yang menjadi rakyat sebuah negeri dan negara. Fikrah Islam inilah yang akan menjadi neraca terbaik guna menilai segala ujian dan cabaran hidup agar tidak hilang pertimbangan, hilang kewarasan sehingga memilih sudut yang negatif kepada diri, keluarga, masyarakat, kerajaan, negeri dan negara dalam memberi pandangan, membuat penulisan, melontar bicara, memutus tindakan dan lain-lain.

Realitinya pada hari ini segelintir warganet atau nitezen, beberapa individu, kelompok, kumpulan, NGO dan tidak ketinggalan juga segelintir ahli serta pimpinan parti-parti politik tertentu daripada pembangkang, lebih cenderung mencari kesalahan,  menunjukkan kelemahan tidak kurang juga saling menuding jari kepada pihak itu dan ini serta membuat kenyataan dengan lantang bahawa Kerajaaan Pusat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mampu menyelesaikan bahkan menguar-uarkan slogan kerajaan gagal lalu mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan.

Semuanya itu bukanlah jalan penyelesaian kepada musibah ini tetapi akan menambahkan beban dan kesusahan. Bukanlah pula membantu sesiapa akan tetapi memusnahkan usaha yang sedia ada.

Baiklah sekiranya kaedah mencari kesalahan dan menyatakan kegagalan merupakan cara berfikir untuk menyelesaikan masalah maka bagaimana pula untuk menjawab persoalan-persoalan ini? Di negeri manakah kes harian yang paling tinggi dan semakin meningkat setiap hari sehingga 9 Julai 2021, laporan KKM melaporkan sejumlah 1,933 kematian (28 kematian pada 9 Julai 2021 sahaja). Kes harian di Selangor sudah mencecah 6,120 kes jangkitan. Negeri manakah gagal dalam mengurus pengagihan vaksin kepada rakyat sehingga tidak mencapai target 130,000 vaksin sehari?

Negeri manakah, kilang-kilang haram masih berleluasa beroperasi? Negeri manakah yang mewujudkan task force tetapi akhirnya terpaksa memohon maaf atas kegagalan mengurus maklumat? Sudah pasti jawapanya adalah Selangor.

Adapun Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan seolah-olah tidak merasa bersalah sedikit pun kepada rakyat Selangor dan rakyat Malaysia atas fakta ini. Hakikatnya kenyataan dan bicara di atas juga tidak membantu apa-apa sebenarnya untuk menyelesaikan Covid-19.

Atau dimanakah nilai diri dan sifat kemanusiaan kita sehingga suka sangat mencari gaduh, menimbulkan keraguan, mencetuskan persepsi negatif, lebih buruk lagi mencipta fitnah demi mencapai cita-cita politik berpaksikan hawa nafsu yang rakus.

Rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam sudah pasti dapat melihat dan berfikir secara waras dan matang bahawa pihak Kerajaan Malaysia melalui kementerian, jabatan, agensi yang berkaitan, pihak NGO, yayasan, koperasi tidak ketinggalan orang perseorangan telah melakukan pelbagai usaha dan ikhtiar.

Sebagai contoh pihak kerajaan telah melaksanakan PKP, PKPD, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) selaras tuntutan dan ajaran agama kerana penawar mesti dicari, manakala pencegahan hendaklah diperkasa. Kerajaan juga telah melancarkan pelbagai inisiatif bantuan seperti BPN (Bantuan Prihatin Nasional) i-SINAR, PEMULIH dan sebagainya, pihak masjid, NGO dan orang perseorangan mewujudkan dan mengedarkan barangan keperluan harian, semua itu adalah usaha-usaha positif yang sewajibnya dipuji atas nama ikhtiar demi kelangsungan hidup rakyat, masyarakat dan demi cinta kepada negara.

Sewajarnya rakyat Malaysia, tanpa berfikir negatif dan berbekalkan semangat dan pemikiran yang positif, bersama-sama bergerak untuk mencapai kebaikan dan menyelesaikan masalah bersama.

Benar! Tidak ada sesiapa pun yang menafikan bahawa, musibah ini adalah terlalu berat untuk dihadapi dan amat sukar untuk diselesaikan oleh semua pihak sama ada kerajaan negeri dan kerajaan pusat, apatah lagi dalam kalangan rakyat biasa.

Tidak ada sesiapa pun yang menolak bahawa ianya mesti ditangani dengan perancangan yang rapi dan terbaik daripada semua pihak. Namun sebagai rakyat yang beragama Islam khususnya, hendaklah berfikir atas dasar keimanan dan keyakinan kepada Allah, lalu memahami apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan dan semua yang terjadi di sekitar kita termasuklah pandemik Covid-19 ini adalah ujian daripada Tuhan Yang Maha Pengasih, di mana ianya mesti ditempuhi dengan jiwa positif, akal yang waras serta tidakan yang wajar.

Juga jangan pernah sesekali terlepas pandang bahawa segala musibah atau ujian adalah daripada ketentuan Allah Taala yang pasti dan mesti ditempuhi dengan kembali kepada Allah Taala jua.

Firman Allah Taala, maksudnya: Katakanlah (Nabi Muhammad SAW), Tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakallah orang-orang yang beriman. (Surah Taubah: 51)

Fikrah atau pemikiran Islam mendidik penganutnya berinteraksi dengan musibah dan ujian dengan kefahaman bahawa Allah Taala berkehendak disebabkan musibah itu agar umat Islam kembali menjadi hamba-Nya yang melayari hidup ini, berpegang kepada akidah, berjalan dengan syariat serta berhias dengan akhlak Islam.

Melalui sebuah kehidupan dengan rasa kasih kepada saudara seIslam, menghormati dan memuliakan saudara seakidah lalu membantu seadanya serta semampunya. Melihat isu dan permasalahan ini adalah sesuatu yang mesti dilalui, ditempuh, diharungi bersama-sama demi kelangsungan hidup dalam negeri dan negara.

Fikrah dan pemikiran Islam mengajar agar laluilah musibah ini dengan sudut pandang Islam yang penuh dengan hikmah, penuh kematangan dan kesedaran, penuh ketenangan, kesabaran dan keredhaan. Dalam hati dan pemikiran orang muslim lagi mukmin sentiasa terpahat bahawa nikmat disyukuri musibah diredhai, ujian ditempuhi usaha dan ikhtiar dipenuhi, kelemahan ditangani putus asa jangan pernah sesekali.

Maka dengan ini Islam menggariskan panduan yang jelas dan menunjukkan jalan keluar yang nyata misal contohnya:

i) Bagi pihak kerajaan, Islam meletakkan satu amanah dan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah atas kepimpinan negara, maka kerajaaan hendaklah menggunakan segala kepakaran dan prasarana yang ada demi menyelesaikan pandemik ini dengan membuat perancangan dan tindakan yang menyeluruh merangkumi isu kesihatan rakyat, keselamatan, ekonomi, emosi dan perasaan yang dialami oleh setiap lapisan rakyat sama yang Muslim dan non-Muslim.

Islam juga mengajar bahawa agama itu adalah nasihat termasuk kepada pemimpin. Oleh itu kerajaan juga haruslah bersedia mendengar luahan rakyat, idea dan cadangan daripada rakyat biasa bukan sahaja memenuhi pemintaan sebahagian pihak dan mengabaikan satu pihak. Bersedia dengan pandangan pihak pembangkang setelah meneliti ianya baik untuk negara dan rakyat. Asas bermusyawarah dan terbuka menerima pandangan sebagaimana diajar oleh Islam menjadi tunjang kekuatan dalam memimpin sebuah negara.

ii) Adapun pihak pembangkang Islam menasihati dengan cara mengambil peluang yang ada menunjukkan betapa mereka berfungsi dengan memberi cadangan dan pelaksanaan terbaik di negeri yang mereka kuasai di samping memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak kerajaan demi survival politik mereka di kemudian hari. Kerana apa yang diajar oleh Islam ialah kebaikan akan dibalas dengan kebaikan, kebaikan akan dijamin dengan kejayaan.

Bukan sebaliknya mencetuskan keraguan, menimbulkan kebimbangan, mendesak sesuatu yang tidak wajar sehingga menambah beban sengsara lalu merimaskan dan menambahkan derita rakyat sedia ada. Rakyat mengharapkan pembangkang yang bertanggujawab sebagaimana rakyat juga berharap sebuah kerajaan yang berhikmah dan prihatin.

iii) Kepada semua rakyat khususnya yang beragama Islam, maka Islam mengajar bertenang dan redha atas ujian, namun bukan bermakna pasrah dan kecewa lalu menyerah begitu sahaja. Kerana Islam mengajar di saat terkena musibah perkara pertama ialah mengawal perasaan dan emosi agar tidak terganggu dan tertekan, lalu mengembalikan diri dan segala urusan kepada Allah Taala. Setelah itu berfikir dengan matang dan menyusun perancangan untuk mengatasi ujian.

Seandainya tidak mampu bertindak dengan meminta nasihat dan pandangan saudara seIslam. Jangan pernah sesekali berputus asa sehingga bertindak membawa binasa kepada diri dan ahli keluarga begitu juga kepada negeri dan negara. Ingatlah orang yang bersabar dan tenang pasti ada Allah bersama.

Kesimpulan, fikrah dan pemikiran Islam dalam menangani musibah dan ujian ialah dengan merendah diri sepenuhnya kepada Allah, mezahirkan diri benar-benar berhajat kepada Allah.

Yang paling penting mesti bersifat jujur dengan Allah Taala dan jangan sesekali berlagak sombong dengan Allah Taala dan menunjukkan keegoan sesama manusia untuk mendabik dada bahawa dialah yang bijak dan berjaya melalui musibah dan hanya dia yang mampu mengurus musibah. Semua sifat ini menghalang pertolongan Allah Taala. – HARAKAHDAILY 18/7/2021

Penulis ialah Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor.