Bantuan Bakul Makanan selesai minggu ini

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS Kuala Terengganu akan menyelesaikan seberapa segera Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) melalui Bantuan Bakul Makanan bagi kawasannya.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, bagi memudahkan bantuan bakul makanan menepati sasaran, nama dan nombor telefon petugas di Pusat Khidmat parlimen diedarkan.

Katanya, Parlimen Kuala Terengganu mempunyai Kawasan perumahan di bawah Skim Projek Perumahan Rakyat seperti Kondo Rakyat Kuala Ibai dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, Kuala Terengganu.

“Ini semua adalah golongan B40 yang perlu diberi bantuan. Di Parlimen Kuala Terengganu ini kita telah mengedar nama dan nombor telefon petugas-petugas di Pusat Khidmat Parlimen untuk dihubungi.

“Kita telah mendapat komitmen daripada semua pihak di peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) dan sebagainya, yang akan turun memberikan bantuan segera sekiranya memerlukan.

“Kita akan cuba selesai (bantuan) dalam minggu ini dengan kadar segera,” ujarnya pada Program Pelancaran Agihan Bantuan Bakul Makanan PEMULIH di Perumahan Flat Kondo Rakyat, Kuala Ibai, Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Dato’ Amzad, selain bantuan kerajaan Persekutuan itu setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga mengusahakan peruntukan kerajaan negeri.

“Setiap ADUN-ADUN yang ada di (Parlimen) Kuala Terengganu pun mengusahakan peruntukan daripada negeri (kerajaan) supaya boleh sampai kepada semua yang perlukan bantuan,” jelasnya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, kerajaan Persekutuan menyediakan bantuan bakul makanan PEMULIH ini kepada semua Ahli Parlimen seluruh negara.

“Setiap Ahli Parlimen diberi peruntukan RM300,000 dan setiap bakul bernilai RM100 dapat menyediakan 3,000 pek bakul makanan untuk empat DUN bawah parlimen Kuala Terengganu.

“Jadi, kita kena agihkan dengan sebaik mungkin bantuan kepada golongan sasar yang benar-benar terkesan akibat pandemik Covid-19,” tegasnya.

Menurutnya, pakej PEMULIH ini merupakan bantuan pertama hari ini sebelum diagihkan kepada DUN-DUN yang lain.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Setiausaha PAS Kuala Terengganu, Ustaz Mohd Soud Said, Pegawai Perhubungan dan Kemasyarakatan Parlimen Kuala Terengganu, Zulkifli Wahab, Pembantu Khas Parlimen (DUN) Batu Buruk, Tuan Ngah Tuan Ahmad dan Pengerusi JPKK Tok Adis, Talib Manaf. – HARAKAHDAILY 18/7/2021

- Advertisement -