Aidiladha: Patuhi titah Sultan tidak rentas negeri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Perantau dinasihat tidak pulang ke kampung semata-mata untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga bagi mengekang penularan Covid-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia selaras dengan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V supaya perantau tidak merentas negeri semata-mata untuk menyambut hari raya.

Katanya, Covid-19 yang kini semakin meningkat di semua negeri dibimbangi semakin tidak terkawal khususnya selepas Aidiladha ini.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan PEMULIH di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Pengkalan Chepa, dekat sini hari ini.

Pada Khamis lepas Sultan Muhammad V bertitah supaya anak anak Kelantan di perantauan supaya tidak melakukan rentas negeri untuk sambutan Aidiladha bersama keluarga.

“Kita minta kerjasama semua perantau supaya patuh dan tidak pulang ke kampung. Bukan tidak suka mereka pulang, sebaliknya mahu semua pihak mengambil iktibar selepas Aidilfitiri lalu,” ujar Marzuk.

Sementara itu menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha hanya dua hari lagi pusat bandar Kota Bharu kelihatan mulai sesak dengan kenderaan.

Malah pihak polis turut mengesan peningkatan kenderaan masuk ke Kelantan sejak tiga hari lalu dengan peningkatan kira-kira lima peratus jumlah kenderaan dari negeri-negeri utara tanah air yang memasuki Kelantan melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jeli.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah dilapor berkata, peningkatan peratusan kemasukan kenderaan di SJR itu dikesan berlaku bermula pagi hingga jam 12 tengah hari tiga hari lalu. – HARAKAHDAILY 18/7/2021

- Advertisement -