Tarbiyah Rabbani dalam falsafah korban

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, Jumaat pertama dalam bulan Zulhijjah ini saya telah dijemput menyampaikan khutbah di Masjid Muhammadi, Angkasapuri, Kuala Lumpur. Tajuk khutbah hari ini (semalam) sangat sinonim dengan perayaan besar umat Islam pada bulan ini ‘Tarbiyah Rabbani dalam Falsafah Korban’. 

Sebagai Muslim, kita yakin dan percaya bahawa setiap amalan dan pengorbanan yang dilakukan atas dasar iman kepada Allah demi mencari redhaNya, maka kebaikan dan ganjaran akan kembali kepada diri kita sendiri.

- Advertisement -

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim ketika peristiwa korban anaknya Nabi Ismail, merupakan suatu manifestasi ketundukan dan lambang ketauhidan yang cukup tinggi dalam menjunjung titah perintah Allah S.W.T. Peristiwa tersebut telah menjadi ibrah pensyariatan dan hubung kait antara ibadah Haji dan ibadah korban yang disambut setiap tahun.

Kesanggupan Nabi Ibrahim sebagai seorang ayah yang sangat menyayangi anaknya dalam menyembelih zuriatnya dengan tangannya sendiri dan kerelaan seorang anak dalam membiarkan dirinya disembelih semata-mata kerana menjunjung perintah Allah S.W.T pastinya memberi gambaran yang jelas kepada kita bahawa ketaatan dalam melaksanakan perintah Allah merupakan suatu keutamaan tertinggi sekalipun ia melibatkan pengorbanan harta dan jiwa.

Semoga kesan penghayatan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ini akan dapat memotivasikan dan mendorong diri kita agar terus berusaha untuk menjadi umat terbaik yang sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah.

Satu persoalan yang perlu dilontarkan kepada diri kita sendiri; adakah kita telah menjadi seorang hamba yang benar-benar memiliki ciri-ciri pengorbanan menghampiri pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail?

Hakikatnya, sama ada secara sedar ataupun tidak, pandemik COVID-19 sedang mendidik kita umat Islam untuk sentiasa bersedia pada tahap kesabaran yang paling optimum dan perlu banyak melakukan pengorbanan terhadap perubahan kepada norma kehidupan yang baharu.

Bersempena dengan pelaksanaan ibadah korban yang disyariatkan pada bulan Zulhijjah ini, marilah sama-sama kita mengambil iktibar daripada falsafah ibadah tersebut dalam melakukan pengorbanan dan melipat gandakan tahap kesabaran kita demi mengekang penularan pandemik COVID-19. Insya-Allah, dengan kesabaran dalam menempuh ujian, kita akan merasai nikmat kebahagiaan.

Al-Imam Ibn al-Qayyim ada menyebut dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad“Kebahagiaan itu dicapai dengan tiga keadaan: Bersabar ketika mendapat ujian, bersyukur ketika mendapat kenikmatan dan bertaubat ketika melakukan kesalahan”.

Sama-sama kita ambil ibrah daripada kisah pengorbanan ini agar kita semua dapat mengutamakan perintah Allah mengatasi segala kehendak nafsu dan kepentingan peribadi yang bersifat duniawi.

YB USTAZ DATO’ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 17/7/2021 

Sumber Asal: https://www.facebook.com/446352142470360/posts/1219548988484001/

- Advertisement -