MN Selangor sokong usaha Operasi Lonjakan Kapasiti

- Advertisement -

MUAFAKAT Nasional (MN) Selangor menyokong penuh inisiatif Operasi Lonjakan Kapasiti (Operation Surge Capacity) untuk Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan yang diisytiharkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin semalam. Melalui program ini Kerajaan Persekutuan akan memastikan setiap warga Selangor dan Wilayah Persekutuan yang berumur 18 tahun ke atas akan menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin menjelang 1 Ogos 2021.

Berikutan peningkatan drastik kes-kes baru COVID-19 di negeri ini (mencecah 5,512 kes 16 Julai 2021) dan kegagalan Kerajaan Negeri PH Selangor dalam menguruskannya dengan berkesan, ternyata program yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara ini adalah langkah segera yang terbaik yang diyakini dapat mengurangkan kes pandemik ini dan seterusnya melindungi dan menyelamatkan rakyat di negeri ini. MN Selangor menyokong supaya kerajaan negeri dapat memberikan kerjasama penuh dalam semangat Federalisma untuk mencapai sasaran operasi ini dan mengenepikan perbezaan politik demi kebajikan rakyat

- Advertisement -

Sesungguhnya tidak ada ikhtiar terbaik di peringkat ini selain memastikan rakyat jelata menerima vaksin untuk melindungi diri mereka dan keluarga serta masyarakat. Lantas MN Selangor menyeru agar Kerajaan Negeri menyediakan pasarana dan sebanyak mungkin PPV bagi memastikan tiada lagi vaksin yang tidak terguna akibat kekurangan PPV sebagaimana sebelum ini.

MN Selangor menyeru supaya kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri agar dapat saling bantu-membantu dan bekerjasama dalam usaha ini dengan koordinasi yang lebih baik demi manfaat rakyat di negeri ini.

MN Selangor menyeru rakyat negeri ini yang masih belum menerima vaksin mereka agar segera tampil ke hadapan bagi menjayakan operasi ini. Sesungguhnya keputusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam membenarkan warga emas yang belum memperolehi temu janji untuk menerima vaksin secara ‘walk in’ di mana-mana PPV di Selangor mulai hari ini adalah sangat positif dan dialu-alukan.

Semoga melalui usaha ini baki 1.3 juta rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan yang masih belum menerima vaksin akan menerima suntikan mereka sebagaimana disasarkan. Diharapkan juga melalui langkah proaktif Kerajaan Persekutuan ini Negeri Selangor akan mencapai ‘imuniti kelompok’ pada waktu terdekat dan rakyat dapat kembali hidup seperti sedia kala. 

Kenyataan bersama ini dikeluarkan pada hari ini Sabtu 17 Julai 2021 oleh Pengerusi Bersama Muafakat Nasional Negeri Selangor.

DATO DR AHMAD YUNUS HAIRI
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor

TAN SRI NOH OMAR
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 17/7/2021

- Advertisement -