Memperingati 26 tahun pembunuhan kejam umat Islam di Srebrenica

- Advertisement -

11 JULAI lalu, umat Islam di Bosnia Herzegovina mengadakan sambutan secara sederhana bagi memperingati peristiwa berdarah pembunuhan kejam beramai-ramai umat Islam Bosnia yang berlaku 26 tahun lalu, di kenali sebagai “Srebrenica Massacre“ oleh tentera Serbia yang di adakan di bandar Srebrenica, Bosnia Herzegovina.

- Advertisement -

Namun pada tahun ini, sambutan tersebut diiringi oleh perasaan sedih dan pilu apabila 19 buah keranda yang membawa jenazah rakyat Bosnia yang terbunuh ketika peristiwa tersebut diarak dan dibawa untuk dikebumikan dengan sempurna di Perkuburan Mangsa Pembunuhan Srebrenica, Potocari, Bosnia Herzegovina.

Di antara mangsa tersebut ialah Azmir Osmanovic yang baru berumur 16 tahun ketika dibunuh dengan kejam dan zalim oleh tentera Serbia. Jasadnya ditemui di sebuah kubur besar di Poljanci dan hanya dikenal pasti pada bulan Mei tahun ini.

Seorang lagi mangsa, Kiveric Fikret baru berusia 17 tahun ketika dibunuh. Mayatnya dijumpai ketika dilakukan penggalian di sebuah kampung di Kamenica pada tahun 2008. Pada tahun 2013, identitinya telah dikenal pasti namun hanya pada tahun ini sahaja keluarga menemui kecekalan untuk melakukan pengebumian ke atas jenazah beliau.

Masih terdapat 37 mangsa lagi yang telah dikenal pasti samada melalui DNA atau proses pengecaman ahli keluarga mangsa yang disimpan di Podrinje Identification Centre di Tuzla namun masih belum menerima kebenaran ahli keluarga untuk dilakukan pengkebumian berikutan terlalu sedikit tulang yang dijumpai.

Walaupun dianggarkan lebih kurang 8,000 umat Islam Bosnia terkorban dalam peristiwa tersebut, namun masih terdapat lebih kurang 10,500 lagi senarai nama orang hilang ketika peristiwa berdarah tersebut berakhir di mana terdapat kemungkinan angka korban sebenar adalah lebih besar daripada yang dijangkakan.

Peristiwa ini masih lagi memberi kesan yang sangat mendalam kepada umat Islam Bosnia Herzegovina di mana ia turut membuktikan bahawa umat Islam adalah mangsa keganasan etnik dan agama di Eropah hingga dibunuh dengan amat kejam.

Malah saat ini, sentimen kebencian agama terutamanya tehadap Islam masih lagi berlaku di Eropah apabila umat Islam sering menjadi sasaran kebencian serta menjadi mangsa kekejaman.

Peristiwa yang berlaku pada Julai 1995 menjadi titik hitam kepada umat Islam Bosnia Herzegovina apabila tentera Serbia mengepung bandar Srebrenica dan melakukan pembunuhan kejam beramai-beramai tanpa ada rasa belas kasihan dan ihsan.

Tidak kurang daripada 8,000 umat Islam Bosnia yang dibunuh dengan kejam yang mana kebanyakannya adalah dari kalangan lelaki dewasa dan remaja. Setelah dibunuh, mereka ditanam beramai-ramai dalam kubur yang besar di pinggir bandar Srebrenica, Bosnia Herzegovina.

Pembunuhan terancang secara beramai-ramai ini dipimpin oleh Ratko Mladic, seorang Jeneral tentera Serbia kejam yang memimpin salah satu unit khas tentera Serbia, Army of Republika Srpska (VSR) ketika perang Yugoslavia dari tahun 1991 hingga 2001.

Ratko Maldic pula berada di bawah pengaruh kuat Slobodan Milosevic yang menjadi Presiden Serbia dari tahun 1989 hingga 1997 seterusnya menjadi Presiden Yugoslavia dari tahun 1997 hingga 2000.

Konflik Bosnia bermula pada tahun 1991 ketika era keruntuhan Komunisma di Yugoslavia apabila satu referendum telah diadakan untuk menuntut pemisahan Bosnia Herzegovina daripada Yugoslavia dan menjadi sebuah negara yang merdeka.

Wilayah Bosnia Herzegovina pada ketika itu dihuni 44 peratus Muslim Bosnia, 31 peratus Orthodok Serbia dan 17 peratus Katolik Croatia. Pada 29 Februari 1992, referendum tersebut disokong dan diluluskan serta diterima oleh masyarakat antarabangsa.

Bagaimanapun keputusan referendum tersebut dibantah oleh puak Serb Bosnia yang memboikot referendum tersebut dan disokong oleh negara Serbia pimpinan Slobodan Milosevic.

Akibatnya, tentera Serbia pimpinan Radovan Karadzic bertindak menyerang Bosnia Herzegovina dengan alasan untuk mengelak bumi Yugoslavia daripada berpecah, walhal sebab sebenarnya ialah untuk menghalang umat Islam Bosnia daripada merdeka dan dendam lama mereka terhadap Islam khususnya sejak era pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah.

Pembunuhan beramai-ramai umat Islam Bosnia di Srebrenica, Bosnia Herzegovina menjadi titik penting kerana akibat daripada peristiwa tersebut, ia menggerakkan masyarakat antarabangsa untuk bertindak dengan agresif terhadap kekejaman tentera Serbia yang menzalimi Umat Islam Bosnia.

Akibat desakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa, pada 18 Mac 1994, satu perjanjian damai yang dikenali sebagai Washington Agreement telah ditandatangani dan akhirnya Bosnia Herzegovina telah menjadi sebuah negara yang merdeka.

Namun tentera Serbia terus menyerang Bosnia Herzegovina walaupun telah menandatangani perjanjian damai dan wujudnya Bosnia Herzegovina sebagai sebuah negara merdeka.

Akhirnya pada tahun 1995, NATO telah melancarkan Operation Deliberate Force dengan menyerang kedudukan tentera Serbia di wilayah yang bergolak tersebut di mana akhirnya tindakan itu telah menamatkan peperangan yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Pada 21 November 1995, satu rundingan damai telah diadakan di Dayton, Ohio, Amerika Syarikat di antara Bosnia Herzegovina dan Serbia dimana pada 14 Disember 1995, satu perjanjian damai telah ditandatangani di Paris, Perancis yang akhirnya telah menamatkan perang saudara yang berlangsung lebih dari 5 tahun, mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa serta memusnahkan harta benda penduduk Srebrenica.

Konflik yang berlarutan lebih 5 tahun ini telah mengorbankan hampir 250,000 rakyat Bosnia Herzegovina yang tidak berdosa di seluruh Bosnia Herzegovina yang majoritinya adalah umat Islam.

Setelah tamat perang tersebut, banyak pihak menyalahkan kuasa-kuasa besar khususnya Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah kerana lambat bertindak walaupun mempunyai kuasa untuk mengelakkan konflik tersebut daripada berlaku.

Pada tahun 2008, International Criminal Tribunal for Former Yugoslavia (ICTY) di bawah seliaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mendakwa seramai 45 orang Serbia, 12 orang Croatia dan 4 orang Bosnia di atas jenayah perang, dibicarakan, didapati bersalah dan dihukum.

Slobodan Milosevic, Ratko Mladic dan Radovan Karadzic ditangkap, dibicarakan serta didapati bersalah di atas jenayah perang samada oleh ICTY mahupun International Court of Justice (ICJ). Kesemua mereka dihukum penjara seumur hidup kecuali Slobodan Milosevic yang mati di dalam tahanan ketika masih dalam perbicaraan.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut bersama dalam menyumbang tenaga ketika berlakunya krisis tersebut. ATM menghantar anggotanya berkhidmat di bawah panji PBB untuk misi keamanan selama beberapa tahun sehingga berakhirnya krisis tersebut.

Kerajaan Malaysia ketika itu di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad turut sama membantu Bosnia Herzegovina dalam membina semula negara mereka samada dari segi infrastruktur mahupun ekonomi. Malah Tun Dr Mahathir juga turut menggesa OIC agar turut sama membantu Bosnia Herzegovina supaya mampu bangkit kembali dari kemusnahan akibat peperangan.

Walaupun peristiwa ini sudah 26 tahun berlalu tetapi ia tetap menjadi sejarah hitam yang tidak dapat dilupakan oleh umat Islam di seluruh pelusuk dunia dimana umat Islam iaitu rakyat Bosnia ditindas, dizalimi dan dibunuh di tanah air mereka sendiri.

Sekarang ini kita lihat apa yang berlaku di Palestin, Kashmir, Rakhine, Myanmar dan Xinjiang, China adalah sama seperti apa yang berlaku di Bosnia Herzegovina dahulu. Jangan kita biarkan peristiwa sama berulang kembali dengan hanya melihat dan membiarkan sahaja ianya berlaku.

Bangsa dan agama lain mampu hidup aman dan damai di bawah pemerintahan Islam sejak zaman dahulu lagi namun umat Islam belum tentu hidup aman dan damai bawah pemerintahan bangsa dan agama lain walaupun di tanah air sendiri.

Bersatulah wahai umat Islam, sesungguhnya dengan kesatuan, kekuatan itu akan muncul seterusnya akan menguatkan kembali ukhuwah, perpaduan dan persaudaraan yang semakin hilang dan menjejaskan kekuatan Islam dan umatnya di seluruh dunia hingga dihina, dikeji dan dipermainkan walaupun di tanah air sendiri.

Sedarlah sebelum terlambat, hanya dengan berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar ia mampu mencetuskan kembali kegemilangan dan kecemerlangan umat dan Dunia Islam.

Islam Memimpin Perpaduan.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 17/7/2021

- Advertisement -