Dedah rakyat kelemahan 22 bulan pentadbiran PH

- Advertisement -

KOTA BHARU: Semua ahli dan penyokong PAS hendaklah bertindak sebagai agen penerangan bagi membolehkan isu yang diketengah di peringkat PAS Pusat dan negeri dapat disebar secara meluas di segenap lapisan masyarakat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, isu yang diketengahkan terutamanya melalui Harakahdaily, Harakah dan medium lain milik PAS perlu disebarluas kepada masyarakat.

Kata beliau jangan pula ada dalam kalangan ahli atau penyokong tidak memanfaatkan isu dan kenyataan yang disebarkan melalui Harakah atau Harakahdaily bagi membolehkan rakyat menjuarai isu yang berlaku.

Katanya, sebagai agen penerangan maklumat yang dikongsi di laman berita tersebut dan hendaklah disebarkan seluas mungkin bagi membentuk gelombang dalam masyarakat.

- Advertisement -

“Sekarang ada pelbagai group WhatsApp dalam kalangan kita termasuk surau, kelab memancing, kelab basikal, kedai kopi atau apa saja untuk disebarkan maklumat tersebut supaya semua pihak mengetahui mengenainya.

“Kita kena cetus gelombang supaya rakyat tahu dan mereka bercakap mengenainya,” katanya ketika merasmikan Konvesyen Penerangan dan Media Baru PAS Kelantan secara atas talian hari ini.

Konvensyen tersebut turut diikuti Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah, Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Dato’ Dr Johari Mat, Ketua Penerangan PAS Negeri Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Zulkifli Mamat.

Kamaruzaman juga berkata, peranan menyebar maklumat dan infomasi begitu penting bagi memberi kefahaman kepada rakyat bagi mengelakkan berulang apa yang berlaku pada Pilhan Raya Umum (PRU) lepas.

Menurutnya rakyat perlu diberi penerangan secara berterusan mengenai pelbagai keburukan dan kelemahan yang berlaku sepanjang 22 bulan kerajaan Persekutuan ditadbir Pakatan Harapan (PH).

“Tentunya ramai masih ingat sepanjang tempoh PH menguasai pentadbiran negara pelbagai isu berlaku termasuk ideologi komunis melalui lakaran kartun cuba disebar luas sehingga ke sekolah.

“Berdasar tinjauan secara umum terdapat kira-kira 40 kerosakan yang berlaku sepanjang pentadbiran kerajaan PH yang perlu menjadi ingatan kepada rakyat bagi mengelakkan PH berulang untuk mentadbir negara pada PRU ke-15,” katanya.

Beliau juga berkata, ahli dan penyokong PAS merebut peluang memfaatkan media sosial kerana kadar penebusan internet di Malaysia sekarang sebanyak 84.2 peratus pada Januari 2021.

Malah kata beliau jumlah pengguna internet di Malaysia sekarang kira-kira 27.43 juta dan negara ini dan menduduki tempat kelima pengguna media sosial teramai di peringkat dunia, di mana jumlah pengguna sosial sebanyak 27.8 juta.

Konvensyen itu turut menampilkan pembentangan kertas kerja disampaikan Dr Johari, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Ahmad Zul Fadzli Ramli dan taklimat isu semasa di Kelantan oleh Zulkifli Mamat. – HARAKAHDAILY 17/7/2021

- Advertisement -