Barangan asas disalur ke tiga lokaliti PKPD di Kerian

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Bekalan barangan keperluan asas akan disalurkan kepada penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti di daerah Kerian iaitu Apartment Tropicana Bukit Merah, Kampung Tersusun Pondok Tanjung dan Kampung Lubuk Binjai.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Razman Zakaria berkata penduduk yang menghadapi masalah bekalan barangan keperluan makanan boleh menghubungi Pusat Pengumpulan dan Agihan Bantuan yang sudah dibuka di sini sejak malam tadi.

- Advertisement -

Beliau berkata kerajaan negeri memberi jaminan bekalan makanan termasuk sumbangan satu kotak makanan setiap keluarga juga akan diberikan kepada penduduk yang terkesan dengan PKPD bagi mengurangkan beban yang mereka hadapi.

“Sebagai langkah awal, Pusat Kidmat ADUN Gunung Semanggol telah memberikan bantuan sayuran-sayuran dan telur kepada semua keluarga yang terbabit pagi ini,” katanya dalam sidang media ketika menyerahkan sumbangan di Pusat Pengumpulan dan Agihan Bantuan PKPD di Bukit Merah dekat sini hari ini.

PKPD dikuatkuasakan kerajaan di tiga lokaliti di daerah Kerian itu bermula hari ini hingga 30 Julai ekoran penularan Kluster Ladang Solar dan Kluster Kebun Sayur.

Apartment Tropicana Bukit Merah mempunyai 55 keluarga membabitkan 166 orang termasuk tujuh unit rumah dihuni warga asing manakala Kampung Tersusun Pondok Tanjung dengan 82 rumah membabitkan 236 penduduk dan 44 penduduk dengan 11 rumah di Kampung Lubuk Binjai.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu membantu boleh menghantar barangan di bilik gerakan itu yang dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. – BERNAMA

- Advertisement -