Sultan titah rakyat usah rentas negeri sambut Aidiladha

Sultan Muhammad V
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Sultan Muhammad V menitahkan supaya rakyat Kelantan kekal mematuhi arahan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan tidak merentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halaman.

Setiausaha Sulit Kanan Sultan Kelantan Dato’ Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata baginda bertitah, tidak berjumpa dengan ibu bapa dalam suasana pandemik bukan bermakna tidak menyayangi mereka.

Sebaliknya ia adalah pilihan yang lebih bertanggungjawab demi melindungi keluarga masing-masin

- Advertisement -

“Dengan kes positif di negeri Kelantan yang masih berada di paras tiga angka, rakyat hendaklah sentiasa berwaspada dan tidak alpa dalam mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Hendaklah sentiasa memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan sosial, dan menjaga kebersihan diri supaya tidak dijangkiti virus Covid-19,” katanya pada satu kenyataan semalam.

Nik Mohd Shafriman berkata Sultan Muhammad V turut menitahkan berikutan kes di peringkat negara menunjukkan peningkatan membimbangkan sehingga 13,215 kes semalam, baginda turut menasihatkan status pembukaan masjid-masjid dikekalkan seperti ketetapan yang sedia ada.

Beliau berkata baginda menyeru supaya rakyat mengambil iktibar daripada kluster-kluster masjid yang berlaku sebelum ini kerana virus tidak mengenal orang, tempat dan waktu.

“Antara ajaran Rasulullah apabila berhadapan dengan masalah penyakit berjangkit adalah pencegahan. Adalah menjadi tanggungjawab agama setiap individu dan masyarakat untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan mengelakkan diri dari tempat-tempat awam.

“Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud ‘Yang sakit janganlah mendatangi yang sihat’,” katanya.

Menurutnya juga baginda meminta rakyat bersabar dalam menempuhi kesukaran sekarang dan bersama berganding bahu memainkan peranan membantu meringan beban petugas-petugas kesihatan untuk menyelamatkan nyawa beribu-ribu pesakit di seluruh negara.

Baginda juga mengajak rakyat Kelantan terus berdoa supaya kes yang mencanak naik dapat dilandaikan dan imuniti kelompok akan berjaya dicapai secepat mungkin. – HARAKAHDAILY 16/7/2021

- Advertisement -