PH kena selidik dahulu sebelum buat kenyataan

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH:
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari diminta agar menyelidik dahulu dengan teliti sebelum membuat ulasan tentang pentadbiran kerajaan negeri ini.

“Isu fokus bantu rakyat dalam situasi Covid-19 telah pun dilaksanakan melalui pakej rangsangan ekonomi yang membabitkan nilai RM174.53 juta melibatkan 60 inisiatif.

“Bahkan pakej rangsangan ekonomi yang telah dibentang oleh YAB Ketua Menteri (Melaka) adalah tertinggi berbanding Sarawak kalau mengikut ratio populasi penduduk,” ujar Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh PH negeri ini baru-baru ini berkaitan perkara itu.

Malah menurutnya, jumlah itu mengatasi apa yang dilakukan oleh negeri yang diperintah oleh PH seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau yang juga Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka menambah, dari sudut penjanaan ekonomi dan mengatasi pengangguran pula, kerajaan negeri telah melaksanakan kempen program Karnival Kerjaya peringkat daerah dan program ‘Penjana KPT’ yang menawarkan ribuan peluang pekerjaan.

“Bantuan kepada yang berkurang pendapatan pula, kita telah galakkan rakyat buat perniagaan sambilan, buka perniagaan, tidak perlu lesen daripada pihak PBT.

“Bantuan bagi orang yang sakit dan terjejas dengan pandemik Covid-19, kerajaan telah gerakkan agensi terbabit secara optimum seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk segera bertindak,” ujar beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Malah, menurutnya, Pejabat Ketua Menteri pun hampir saban hari menerima permohonan bantuan dan terus bertindak tanpa birokrasi.

“Saya nak ingatkan pihak pembangkang supaya peka dengan perkembangan aktiviti kerajaan negeri agar tidak ‘tertinggal kereta api’.

“Sebenarnya banyak lagi usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Melaka semasa pandemik Covid-19 mula melanda negara.

“Apa yang penting ketepikan bermain politik di musim Covid ini. Mari turun bersama kerajaan membantu rakyat yang memerlukan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 16/7/2021

- Advertisement -