Penggunaan ‘fakta dipersetujui’ dalam perbicaraan

- Advertisement -

ADALAH menjadi syarat di bawah KKM 2012 untuk pihak-pihak memfailkan pernyataan fakta-fakta dipersetujui. Secara umumnya, ia perlu diekstrak daripada pliding berasaskan fakta yang disebut dalam pernyataan tuntutan, dan diakui dalam pernyataan pembelaan.

Itu semua sedia maklum. Penyediaan pernyataan fakta-fakta dipersetujui ini amat penting dalam perbicaraan kelak kerana pihak-pihak terikat dengan pliding. Apa yang saya mahu kongsikan hari ini ialah menggunakan fakta-fakta dipersetujui dalam pendengaran penutup selepas perbicaraan.

- Advertisement -

Satu kaedah yang baik saya lihat banyak digunakan oleh peguam-peguam kanan ialah menyatakan kepada mahkamah terlebih dahulu, apa yang telah dipersetujui semasa menceritakan latar belakang kes.

Sebagai contoh:

Contoh 1:

Yang Arif, fakta dalam kes ini jelas. Adalah dipersetujui oleh kedua-dua pihak bahawa perjanjian pinjaman itu wujud, wang telah dilepaskan dan Defendan telah menggunakan wang tersebut. Yang menjadi pertikaian pada hari ini hanyalah kiraan faedah.

Contoh 2:

Yang Arif, kes ini adalah kes fitnah. Defendan bersetuju bahawa hantaran Facebook yang dibuat tersebut merujuk kepada Plaintif dan juga terdapat penyebaran bila ia dihantar dalam tetapan awam (public). Yang menjadi isu hanyalah sama ada kandungannya mengandungi kata-kata fitnah atau tidak, dan itu yang kami akan hujahkan.

Memulakan penghujahan anda sebegini akan memberi gambaran kepada Hakim bahawa isu yang ada tidaklah banyak, dan memudahkan pemahaman Hakim. Pengakuan yang dibuat oleh mana-mana saksi dalam perbicaraan juga boleh disebut sebagai fakta yang diakui pada awal penghujahan. 

Setelah semua fakta-fakta dipersetujui dan pengakuan-pengakuan yang ada dinyatakan, barulah kita teruskan hujah dengan isu yang tinggal. Lebih kemas, lebih tersusun.

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 16/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/102136115453190/posts/122714133395388/

- Advertisement -