‘Jangan cabar arahan kerajaan, amaran saya kepada kilang’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Jangan cabar arahan kerajaan, ini amaran saya kepada kilang dan premis perniagaan yang masih berdegil melanggar SOP,” kata Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, 180 kilang serta premis perniagaan lagi diarah tutup kerana gagal mematuhi arahan dan prosedur operasi standar (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata, rakyat lain boleh bersabar, kenapa masih ada pihak masih berdegil dan merupakan penyumbang utama.

- Advertisement -

“Saya berbesar hati kepada netizen, penduduk sekitar dan rakyat yang sentiasa memberi maklumat pada pihak berkuasa terhadap mereka yang rakus dan tamak ini,” ujarnya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, malam tadi.

Dalam hantaran sebelum itu, beliau turut menyentuh 13,215 orang dijangkiti Covid-19, semalam di mana tiga negeri menjadi menyumbang terbesar iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Ini adalah satu jumlah yang besar. Namun hal ini berlaku kerana ujian saringan secara besar-besaran dan bersasar di kawasan yang dikenakan PKPD,” jelasnya.

Katanya, kerajaan akan terus menumpukan usaha memperluas dan mempercepat pemberian vaksinasi bagi menangani kebimbangan rakyat susulan peningkatan kes itu.

“Doa saya agar kita semua dapat bersama-sama menghentikan penularan pandemik ini dari negara kita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/7/2021

- Advertisement -