Gabungan NGO tolak syarat UEC permohonan ke IPG

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Gabungan NGO membantah sekeras-kerasnya pengiktirafan graduan atau lepasan peperiksaan Unified Examination Certificate (UEC) untuk diterima masuk ke Institut Pendidikan Guru (IPG), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) walaupun bagi mengambil kursus Bahasa Cina sahaja.

Menurut gabungan NGO dalam satu kenyataan bersama, UEC bercanggah dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Malah, kata mereka UEC diurus tadbir oleh badan swasta secara sewenangnya yang tidak diiktiraf dan amat diragui kualitinya.

- Advertisement -

“Ini berbeza daripada sijil SPM yang diurus oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

“Majoriti badan bukan kerajaan (BBK/NGO) sebelum ini telah dengan tegas menolak pengiktirafan UEC dalam beberapa perbincangan terperinci meja bulat antara kementerian dengan BBK semenjak tiga tahun yang lalu.

“Kurikulum pendidikan UEC banyak mengandungi kesilapan fakta, kualiti yang meragukan, dan hanya dikelolakan oleh badan NGO secara swasta yang tidak diiktiraf oleh kerajaan malah bercanggah dengan aspirasi Perpaduan Nasional,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Kanan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Dato’ Raof Husin, Ketua 1 GAPENA, Dato’ Zainal Abidin Borhan, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli, Wakil Khas PLM, Kamal Shukri Abdullah Sani, Pengkaji, Penyelidik, Penceramah Sejarah Malaysia, Zaharah Sulaiman dan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Muhammad Arif Hakimi Maludin.

Mereka berkata, pengiktirafan yang kononnya diperolehi daripada beberapa universiti di luar negara tidak boleh diterima pakai sebagai jaminan mutlak kualiti kerana falsafah pendidikan dan aspirasi negara ini tidak sama dengan negara lain.

“Kita kesal kerana sama ada pegawai tertinggi KPM gagal menasihatkan menteri atau menteri gagal mendengar nasihat.

“Ingatlah peribahasa, ‘lulus jarum luluslah kelindan’ boleh berulang. Banyak cara yang lebih baik untuk mengatasi masalah kecil yang tidak kritikal tersebut agar KPM tidak menjadi tikus membaiki labu.

Pada 14 Julai lalu, KPM dalam satu kenyataan mengeluarkan syarat tawaran pengambilan khas calon guru bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Fasa 2 dan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, 2019 dan 2020.

Pengambilan tersebut ditawarkan kepada mereka yang mempunyai Sijil Menengah Agama (SMA) atau Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sijil Unified Examination Certificate Unified (UEC) bagi tahun 2021. – HARAKAHDAILY 16/7/2021

- Advertisement -